Lima petugas kemanusiaan maut di Sudan Selatan, PBB kecam serangan konvoi bantuan
SUDAN SELATAN – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam serangan terhadap sebuah konvoi bantuan kemanusiaan di negeri Jonglei, Sudan Selatan yang mengorbankan lima petugas bantuan serta menyebabkan beberapa lagi individu cedera.
Jurucakap PBB, Stephane Dujarric berkata, serangan itu berlaku kelmarin di daerah Duk ketika konvoi berkenaan yang dikendalikan oleh rakan pelaksana tempatan, sedang menjalankan misi kemanusiaan.
Menurut beliau, empat lagi petugas bantuan cedera dalam insiden tersebut, manakala sejumlah orang awam turut dilaporkan terbunuh atau mengalami kecederaan.
“Rakan sekerja kami memaklumkan bahawa konvoi itu jelas ditandakan sebagai konvoi kemanusiaan,” katanya memetik laporan agensi berita antarabangsa pada sidang media di ibu pejabat PBB semalam.
Dujarric menegaskan bahawa peningkatan serangan terhadap petugas bantuan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Beliau turut menggesa siasatan segera dan menyeluruh dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Sementara itu, media tempatan, Radio Tamazuj melaporkan konvoi milik Yayasan John Dau itu sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri sesi latihan yang dianjurkan oleh Program Makanan Sedunia (WFP) dan Pertubuhan Action Against Hunger sebelum diserang sekumpulan lelaki bersenjata.
Menurut laporan tersebut, sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan terbunuh dalam kejadian berkenaan berdasarkan maklumat daripada sumber tempatan.
Sudan Selatan yang memperoleh kemerdekaan pada tahun 2011, terus bergelut dengan konflik bersenjata dan ketidakstabilan politik yang telah mengorbankan ribuan nyawa serta menjejaskan usaha bantuan kemanusiaan di negara itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















