Pemilik akaun misteri dedah insiden tidak senonoh e-Hati, Cikgu Fadli ucap terima kasih
KUALA LUMPUR – Pendedahan mengejutkan oleh pemilik akaun Facebook misteri bernama Masyitah Ashari berjaya membuka pekung di sebalik penganjuran seminar motivasi dikenali sebagai eHati yang dikaitkan dengan insiden berunsur lucah melibatkan pesertanya.
Perkara itu diluahkan pempengaruh, Cikgu Mohd Fadli Salleh melalui satu hantaran di Facebook sebentar tadi.
Menurut beliau, akaun tersebut yang muncul secara tiba-tiba dipercayai palsu, tampil membawa bukti berupa gambar, video dan tangkap layar perbualan dalam kumpulan peserta berdaftar itu sekali gus mendedahkan perlakuan tidak bermoral yang berlaku ketika seminar berkenaan.
Apa yang mengejutkan, individu di sebalik akaun itu dipercayai hadir secara fizikal dalam seminar berkenaan kerana mampu memberikan butiran sangat terperinci tentang apa yang berlaku, termasuk insiden bengkel didakwa melibatkan aksi bogel yang berlaku secara tertutup.
“Dia tidak datang dengan tuduhan kosong. Bukti-bukti yang dibawa sangat solid. Satu persatu peristiwa yang berlaku dalam dewan malam itu dia dapat ceritakan dengan jelas,” kata Cikgu Fadli.
Sejurus selepas pihak polis mengesahkan wujudnya unsur jenayah dalam seminar berkenaan dan menahan enam individu untuk siasatan lanjut, akaun ‘Masyitah Ashari’ dilaporkan lenyap tanpa jejak.
“Datang entah dari mana, pergi entah ke mana,” kata Fadhli yang turut merakamkan penghargaan kepada pemilik akaun itu atas keberaniannya membongkar perkara yang disifatkan sebagai menjijikkan dan merosakkan akhlak masyarakat.
Menurut kenyataan Polis Diraja Malaysia (PDRM), siasatan awal mendapati terdapat elemen melampau dalam penganjuran seminar tersebut yang melibatkan aktiviti tidak senonoh, dipercayai berlaku di sebuah lokasi tertutup dan hanya dihadiri peserta berdaftar.
BACA : New Age: Bonda Nor seru wanita tidak lakukan perkara dimurkai Allah
BACA : Polis panggil 50 individu bantu siasatan program motivasi kontroversi
Enam individu termasuk penganjur kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan kelakuan lucah di tempat awam, serta beberapa peruntukan lain berkaitan dengan kesalahan syariah dan pelanggaran moral awam.
Dalam pada itu, Cikgu Fadli turut menyeru mana-mana peserta yang terlibat agar segera bertaubat.
“Kepada peserta yang sudah terlanjur, pintu taubat sentiasa terbuka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun,” ujarnya.
Beliau juga berharap agar pihak berkuasa memperketatkan kawalan terhadap penganjuran seminar atau program motivasi yang menyalahgunakan nama pembangunan diri untuk aktiviti songsang yang boleh menggugat nilai moral dan agama di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







