New Age: Bonda Nor seru wanita tidak lakukan perkara dimurkai Allah
KUALA LUMPUR – Penulis dan pendakwah terkenal, Bonda Nor menyeru para wanita agar lebih berwaspada dalam mencari jalan keluar daripada tekanan hidup khususnya ketika diuji dengan pelbagai masalah peribadi dan emosi.
Dalam satu hantaran tegas dan menyentuh hati di media sosial, beliau menegaskan:
“Self love bukan bermakna kita perlu pentingkan diri sendiri. Tapi self love yang sebenar ialah apabila kita tidak melakukan sesuatu yang dimurkai Allah.”
Hantaran itu dimuat naik susulan pendedahan mengenai seorang penulis tempatan yang didakwa membawa fahaman songsang berteraskan ajaran New Age yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam.
“Saya baca kisah penulis yang membawa ajaran New Age tu dengan rasa sedih, sebal, segan dan sebak. Kenapalah sampai macam tu sekali? Astaghfirullah. Seriau rasa,” luah Bonda Nor yang juga penulis buku Pujuklah Hati dan Saya Tunggu Awak.
Menurut beliau, fenomena segelintir individu yang membawa ajaran pelik-pelik bukanlah perkara baharu, namun yang lebih membimbangkan ialah jumlah pengikut yang turut terikut-ikut membenarkan ajaran tersebut.
Beliau mengingatkan masyarakat, khususnya kaum wanita agar tidak mudah terpedaya dengan iklan atau pendekatan berunsur spiritual yang tidak berlandaskan syariat.
“Saya tahu ujian hidup kadang buat kita begitu terdesak mencari penyelesaian dan ketenangan. Tapi jangan sesekali membodohkan diri terjebak dengan sesuatu yang tiada nas dalam agama, apatah lagi yang mengaibkan diri dan menjatuhkan maruah sendiri,” tegasnya.
Dalam hantaran itu, Bonda Nor turut menyentuh tentang bagaimana keinginan untuk mencari kelainan atau penyelesaian segera sering menjadikan seseorang itu lemah dalam menilai kebenaran, lebih-lebih lagi apabila hati terlalu dikawal oleh emosi.
Sedangkan katanya, Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna yang mengangkat darjat wanita, bukannya merendahkannya.
“Hidup ini tak mudah, saya tahu. Tapi yakinlah, masalah kita akan selesai. Ujian hidup kita juga biar sebesar apa pun, pasti akan berakhir. Maka sabarlah, dan belajarlah menikmati saat-saat teruji di mana inilah masanya kita begitu dekat dengan Allah,” tulisnya lagi.
Beliau juga mengajak para wanita yang sedang melalui episod kesedihan agar kembali kepada ajaran Islam yang tulen iaitu mengadu, merintih dan berserah kepada Allah, bukannya mencari jalan mudah yang menyesatkan.
Tegasnya, semua rintihan dan kesabaran itu mempunyai ‘markah’ di sisi Allah untuk melayakkan seseorang ke syurga.
“Memadai kita lakukan itu untuk buat kita rasa lega kerana telah menunaikan tanggungjawab kita sebagai hamba yang teruji dan yang sedar diri. Tak perlu sebarang ritual yang bukan-bukan,” katanya.
Di akhir hantaran tersebut, beliau menyampaikan doa dan harapan agar mereka yang telah menyimpang kembali ke pangkal jalan dan agar seluruh umat Islam termasuk keturunan kita terpelihara daripada fitnah dunia akhir zaman.
“Jadi, tolong jaga diri. Jangan menzalimi diri dengan hal-hal bodoh macam ni. Jaga circle kita dan hati-hati dalam berguru dan menuntut ilmu. Semoga Allah jaga kita dan keturunan kita daripada fitnah dunia. Amin. Amin.”
Hantaran Bonda Nor itu mendapat sambutan dan sokongan daripada ratusan pengikut yang turut menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan sesetengah pihak mempromosi ‘rawatan alternatif’ dan ‘terapi spiritual’ yang tidak bersandarkan nas dan disiplin agama.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









2 Comments