BERITA SEMASA

Aliff Syukri pecah rekod jualan TikTok RM1 juta dalam 2 minit 32 saat

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik sensasi, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman mencatat sejarah di platform TikTok apabila berjaya mencapai jualan RM1 juta hanya dalam 2 minit 32 saat, sekali gus memecahkan rekod terdahulu yang dipegang oleh pempengaruh terkenal, Khairul Aming.

Perkara itu dikongsi oleh penulis dan pempengaruh, Cikgu Mohd Fadli Salleh menerusi hantaran di Facebook yang memuji strategi pemasaran dan usaha berterusan Aliff Syukri sehingga berjaya mencatat pencapaian luar biasa itu.

“Beliau buat jualan RM1 juta dalam masa 2 minit 32 saat memecahkan rekod Khairul Aming 3 minit 39 saat.

“Dua minit buat sejuta sale. Cash!” tulisnya.

Mohd Fadli turut menjelaskan bahawa kejayaan itu bukan semata-mata kerana populariti atau jumlah pengikut, sebaliknya hasil strategi pemasaran berkesan dan konsistensi Aliff Syukri membina momentum di TikTok.

“Ramai orang akan kata, ‘Dia senanglah, ramai followers’. Tapi cuba tengok TikTok artis-artis tersohor bila mereka buat live, sendu je pun, ada la beberapa ratus penonton.

“DAS (Datuk Aliff Syukri) buat live hari biasa sekitar 4,000 hingga 8,000 penonton. Tapi malam tadi, viewers dia melebihi 100,000,” katanya.

Aliff Syukri merupakan seorang usahawan sensasi yang bijak mempromosikan perniagaannya.

Fenomena jualan pantas itu turut dipacu oleh kempen battle jualan secara langsung (live) yang mencetuskan keterujaan pembeli.

“Saya terbaca tulisan seorang kawan perempuan, dia jenis tak suka pakai handbag. Tapi malam tadi dia join battle beli handbag juga.

“Kerana vibe dan promosi kaw-kaw DAS, ia buat ramai nak miliki dalam masa sama. Padahal boleh je beli esok lusa, tapi bila bersaing beli battle secara live ni lebih teruja,” jelas Mohd Fadli.

Beliau menambah bahawa rekod tersebut adalah hasil usaha berbulan-bulan membina pengaruh dan momentum di TikTok, bukan kejayaan yang datang dalam sekelip mata.

Rekod baharu itu menandakan persaingan pempengaruh dan usahawan di platform TikTok semakin sengit, sekali gus membuktikan kuasa pemasaran live streaming dalam meningkatkan jualan jenama tempatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button