POLITIK

Pemecatan Hamzah jangan dibuat secara berselindung – Wan Ahmad Fayhsal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menggesa kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) agar bertindak secara berani dan berterus terang sekiranya benar wujud hasrat untuk memecat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Menurut beliau, sebarang keputusan penting membabitkan pimpinan tertinggi parti tidak seharusnya dilakukan melalui saluran tidak rasmi atau gerakan sulit yang hanya mencerminkan kelemahan kepimpinan.

“Pendekatan menggunakan pihak tertentu sebagai perantara untuk menyampaikan mesej pemecatan adalah tidak wajar dan menjejaskan maruah serta integriti parti.

“Jika benar mahu mengambil tindakan, lakukan secara terbuka dan mengikut perlembagaan parti. Jangan bertindak secara berselindung seolah-olah takut berhadapan dengan kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fayhsal turut berkata, tindakan menekan pimpinan yang mempertahankan prinsip perjuangan hanya akan merosakkan asas perjuangan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN), khususnya dalam mempertahankan agenda agama, bangsa dan tanah air.

Beliau turut mengkritik budaya dalaman parti yang didakwanya kini dikuasai oleh kelompok yang hanya tahu mengampu kepimpinan, selain menyifatkan keadaan itu sebagai punca kepada kemerosotan wibawa BERSATU.

Dalam masa sama, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap hala tuju kepimpinan parti yang menurutnya dilihat semakin dipengaruhi oleh kerajaan MADANI, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keteguhan prinsip perjuangan parti tersebut.

Desas-desus mengenai kemungkinan tindakan disiplin terhadap Hamzah semakin memuncak susulan pertemuan beberapa pemimpin kanan BERSATU bersama Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di ibu negara, malam semalam.

Difahamkan, pertemuan itu berkaitan laporan bahawa Hamzah dipanggil menghadap Lembaga Disiplin BERSATU bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kekecohan semasa Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU serta dakwaan serangan terhadap Muhyiddin.

Setakat ini, BERSATU masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button