BERITA SEMASA

PEMBELA ragui kenyataan polis Tamim Dahri lari ke Thailand

KUALA LUMPUR – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar menggesa pihak berkuasa menjelaskan lebih terperinci kepada umum mengenai keputusan untuk mendakwa Tamim Dahri Abdul Razak.

Beliau berkata, tindakan itu perlu memandangkan kes tersebut telah mengundang kontroversi dan pertanyaan daripada pelbagai pihak.

“Ketelusan, akauntabiliti, dan kesaksamaan di sisi undang-undang hendaklah sentiasa menjadi asas dalam setiap keputusan untuk mendakwa mana-mana individu.

“Sehubungan itu, saya berpendapat bahawa keputusan mendakwa Tamim perlu dijelaskan dengan lebih terperinci kepada umum, supaya tidak timbul keraguan bahawa tindakan tersebut dibuat secara tergesa-gesa, selektif atau dipengaruhi oleh pertimbangan yang tidak selari dengan prinsip keadilan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu polis mengeluarkan kenyataan memburu Tamim Dahri dan Zamri Vinoth yang didakwa melarikan diri ke Thailand.

Kedua-dua mereka akan didakwa atas beberapa pertuduhan.

Tamim Dahri akan didakwa berhubung tindakan merosakkan soolam, yang merupakan simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar, Langkawi, Kedah manakala Zamri disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam dengan niat menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

Mengulas lanjut katanya, keputusan untuk mendakwa Tamim Dahri wajar dinilai semula secara teliti berdasarkan prinsip keadilan, ketelusan, dan kepentingan awam.

Katanya, dalam mana-mana sistem perundangan yang menjunjung kedaulatan undang-undang, pendakwaan tidak boleh dilihat sebagai satu tindakan yang tergesa-gesa atau dipengaruhi oleh pertimbangan selain daripada fakta, keterangan dan peruntukan undang-undang yang jelas.

“Kuasa untuk mendakwa adalah suatu kuasa yang sangat besar dan mesti dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Prinsip asas dalam undang-undang jenayah menuntut bahawa pendakwaan hanya boleh dibuat apabila terdapat keterangan yang mencukupi untuk membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, serta apabila pendakwaan tersebut benar-benar selaras dengan kepentingan keadilan awam (public interest).

“Sekiranya terdapat unsur ketidakkonsistenan dalam tindakan pendakwaan, layanan yang berbeza terhadap kes yang serupa, atau kegagalan mengambil kira keseluruhan keadaan fakta, maka keadaan tersebut boleh menimbulkan persepsi bahawa proses undang-undang sedang digunakan secara selektif.

“Persepsi sedemikian, walaupun belum tentu benar, boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap integriti institusi pendakwaan dan sistem keadilan jenayah secara keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, Zainul Rijal juga meragui kenyataan pihak polis yang mendakwa kedua-dua individu itu melarikan diri ke Thailand.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button