JENAYAH & MAHKAMAH

Pelancong warga China meninggal dunia ketika menyelam

SEMPORNA – Seorang pelancong warga China maut dipercayai akibat lemas ketika menyelam di perairan berhampiran Pulau Sipadan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 6.45 petang semalam.

“Pengadu merupakan seorang jurulatih selam skuba, bersama empat lagi pemandu selam telah membawa lapan penyelam dari pelbagai negara ke Pulau Sipadan bagi menjalankan aktiviti selaman.

“Pada kira-kira pukul 10.45 pagi, pelancong lelaki warga China berusia 37 tahun itu telah memasuki laut tanpa kebenaran jurulatih dan terus tenggelam,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Sabri menambah, tekong bot segera memaklumkan kejadian itu kepada jurulatih berkenaan.

Berikutan itu, salah seorang pemandu selam telah melakukan pencarian dan menemui mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri pada anggaran kedalaman 25 meter.

Mangsa kemudiannya dibawa naik ke bot dan diberi bantuan kecemasan, di mana dia menunjukkan sedikit tindak balas dengan mengambil nafas dalam dan muntah, namun masih tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut sebelum dipindahkan ke Hospital Tawau.

“Dia disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Tawau.”

Satu kertas siasatan dibuka dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut.

Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852, atau menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis berdekatan atau Ibu Pejabat Polis Daerah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button