BERITA SEMASADALAM NEGERI

Lebih 27,000 pekerja terima manfaat Dasar Gaji Progresif – Steven Sim

BUKIT MERTAJAM – Dasar Gaji Progresif (DGP) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemangkin model emolumen berasaskan kemahiran dan produktiviti apabila lebih 27,000 pekerja sudah menerima manfaat dalam tempoh 11 bulan pelaksanaannya tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, berdasarkan perangkaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebanyak 2,489 majikan kini menyertai inisiatif tersebut, sekali gus mencerminkan keberkesanan kukuh model emolumen berasaskan kemahiran dan produktiviti itu di tempat kerja.

“Lebih 45 peratus pekerja dalam kategori profesional hingga operator mesin menikmati kenaikan gaji RM300 atau lebih dengan 22 peratus daripada penerima manfaat adalah golongan belia.

“Ini sekali gus menjadi indikator penting bahawa DGP berupaya menarik, mengekalkan dan mengembangkan tenaga kerja muda yang kritikal kepada peningkatan produktiviti negara.

“Peningkatan penyertaan ini turut dipacu oleh manfaat langsung kepada majikan, iaitu insentif kewangan bulanan yang dibayar terus oleh Perkeso sehingga 2027, di samping akses kepada tenaga kerja yang lebih mahir, produktif dan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri sesi libat urus DGP dan Majlis Penghargaan kepada majikan DGP di sini, semalam.

Menurutnya, pendekatan pelaksanaan DGP secara sukarela dan berperingkat memberi ruang kepada majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyesuaikan pelaksanaannya mengikut kemampuan operasi masing-masing.

Sim berkata, melihat kepada pencapaian setakat ini, kerajaan menyeru lebih banyak majikan menyertai DGP sebagai pelaburan strategik terhadap daya saing syarikat masing-masing.

Beliau menyifatkan DGP sebagai reformasi struktur gaji yang memastikan peningkatan kemahiran sebenar diterjemahkan kepada ganjaran gaji setimpal, sekali gus menyokong objektif nasional membina pasaran buruh yang lebih adil, progresif dan mampan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button