PDRM gagalkan 26 cubaan serangan pengganas sejak 2016
KUCHING – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menggagalkan 26 cubaan kumpulan pengganas untuk melancarkan serangan dalam negara ini sejak 2016 hingga tahun ini.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, siasatan mendapati semua rancangan serangan itu sudah berada pada fasa akhir ketika berjaya dikesan polis, lapor BH Online.
“Ada yang sudah menyiapkan bahan letupan, bom tangan malah ada juga yang sudah bersiap dengan senjata api.
“Namun kita (Malaysia) beruntung kerana ada satu pasukan iaitu E8 Cawangan Khas PDRM yang bertindak dengan cepat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir pada sesi wacana bersama Yayasan Pembangunan Buku Kebangsaan (NBDF) dan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di sini malam tadi.
Ayob kemudiannya memberitahu, banyak tangkapan dibuat khususnya selepas insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram di Johor pada 17 Mei tahun lalu.
“Baru-baru ini pun polis menangkap warga asing yang ada elemen pengganas dan dikenal pasti terbabit dalam kumpulan IS.
“Kita dapat maklumat perisikan dan kita dapat memastikan tindakan awal diambil sebelum mereka melancarkan serangan,” katanya lagi.
Beliau berkata, masyarakat menganggap tangkapan itu biasa sahaja kerana serangan tidak berlaku dan mereka tidak tahu polis menggagalkan serangan yang dirancang.
“Kalau kita gagal kesan peringkat awal, ia akan memberikan impak besar kepada masyarakat dan selepas itu barulah mereka tahu bagaimana seriusnya ancaman pengganas di Malaysia,” katanya.
Menurutnya lagi, semua 26 cubaan serangan itu dikenal pasti dirancang pengganas yang ada kaitan dengan kumpulan IS.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








