PDRM diarah pantau ‘Glamping with Pride’
SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah melakukan pemantauan sekiranya berlaku sebarang elemen pelanggaran undang-undang dalam penganjuran program ‘Glamping With Pride’ di Hulu Langat yang dijangka dianjurkan pada 17 hingga 18 Januari depan.
Menurut Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, PDRM mempunyai bidang kuasa yang luas bagi mengekang dan menyelesaikan sebarang pelanggaran undang-undang terhadap penganjuran program berkenaan.
“Dalam (penganjuran) program itu, yang dimaklumkan tidaklah kata pesta tukar pakaian ke, pesta tak tentu hala (sebaliknya) katanya ‘nature’ (alam semula jadi).
“Jadi kita kena pastikan dia menepati apa yang dikata,” katanya, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan mengenai penganjuran program berkenaan.
“MPKj tidak menerima sebarang permohonan (penganjuran program) dan MPKj juga secara dasar tidak menyokong serta meluluskan acara tersebut,” katanya.
Terdahulu, sebuah kumpulan pro golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBTQ) menyatakan mereka akan meneruskan program ‘Glamping With Pride’ di Hulu Langat hujung minggu depan walaupun mendapat bantahan.
Kumpulan dikenali sebagai Jejaka itu menegaskan program selama dua hari itu adalah ‘retreat’ berasaskan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan, sokongan rakan sebaya, dan kesedaran kesihatan.
Kumpulan itu turut menegaskan bahawa aktiviti sebegitu tidak melanggar undang-undang negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







