PBB desak Israel berundur dari wilayah Palestin dan Syria
NEW YORK – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) semalam meluluskan dua resolusi yang menuntut Israel berundur dari wilayah Palestin serta Dataran Tinggi Golan milik Syria.
Dalam resolusi ‘Peaceful Settlement of the Question of Palestine’ itu, sebanyak 151 negara mengundi menyokong termasuk China manakala 11 menolak, antaranya Israel dan Amerika Syarikat, memetik laporan agensi berita Anadolu.
Resolusi itu menolak sebarang usaha mengubah demografi atau sempadan Gaza serta menekankan keperluan menyatukan Gaza dan Tebing Barat di bawah Palestinian Authority tanpa berlengah.
Ia turut mendesak Israel menghentikan penempatan haram baharu dan mengosongkan semua penempatan sedia ada.
Presiden UNGA, Annalena Baerbock dalam ucapannya berkata, sudah tiba masanya tindakan tegas diambil selepas puluhan tahun kebuntuan.
“Selama 78 tahun, rakyat Palestin dinafikan hak mutlak mereka khususnya hak menentukan nasib sendiri. Kini sudah tiba masa kita bertindak,” kata beliau.
Baerbock turut menegaskan konflik Israel-Palestin ‘tidak boleh diselesaikan melalui pendudukan haram, pengilhakan atau perang berterusan’ sambil mengulangi sokongannya kepada penyelesaian dua negara.
UNGA turut meluluskan resolusi kedua bertajuk ‘The Syrian Golan’ dengan 123 undi menyokong.
Dokumen itu menegaskan keputusan Israel pada 1981 untuk mengenakan undang-undangnya ke atas Golan sebagai ‘batal dan tidak sah’ serta menuntut pengunduran ke sempadan pada 4 Jun 1967.
Jurucakap Presiden Palestin, Nabil Abu Rudeineh menyifatkan keputusan itu sebagai kemenangan diplomatik.
“Resolusi ini mesej jelas kepada Washington dan pendudukan Israel bahawa tanpa negara Palestin berlandaskan undang-undang antarabangsa, tidak akan ada keamanan atau kestabilan,” katanya.
Dalam reaksi balas, Duta Israel ke PBB, Danny Danon menyifatkan undian itu sebagai tidak berpijak pada realiti.
“Israel tidak akan kembali ke sempadan 1967 dan tidak akan menyerahkan Golan. Tidak sekarang, tidak selamanya,” katanya.
Sementara itu, Mesir memaklumkan sedang berbincang dengan AS mengenai penganjuran persidangan antarabangsa bagi membina semula Gaza manakala Qatar menegaskan usaha diplomatik untuk memastikan gencatan senjata berterusan sedang dipertingkatkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








