BERITA SEMASA

Orang kanan Allahyarham Bung Moktar, Jafry Ariffin dilantik Pengerusi UMNO Sabah yang baharu

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Kinabatangan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin dilantik sebagai Pengerusi UMNO Sabah yang baharu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, turut dilantik ialah Datuk Mohd Hasnol Ayub dan Samasuddin Yusop yang masing-masing dipilih memegang jawatan timbalan pengerusi dan setiausaha UMNO negeri yang baharu.

Katanya, pelantikan barisan kepimpinan baharu itu selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan parti, selepas mendapat persetujuan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Pelantikan berkenaan dibuat bagi memastikan kesinambungan pentadbiran parti, memperkukuh penyelarasan organisasi serta meningkatkan koordinasi gerak kerja UMNO di Sabah agar lebih tersusun dan berkesan.

“UMNO turut menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti di Sabah untuk memberikan sokongan penuh kepada barisan baharu tersebut bagi memastikan parti terus berperanan berkhidmat kepada rakyat dan mendukung pentadbiran kerajaan negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini jawatan Pengerusi UMNO Sabah disandang oleh Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin manakala timbalannya ialah Datuk Seri Rahman Dahlan manakala Jafry merupakan Setiausaha UMNO Sabah.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini, Rahman menarik diri selaku calon DUN Tempasuk selepas namanya diumumkan bertanding.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button