JENAYAH & MAHKAMAH

Ops Kutip: Imigresen tahan 186 PATI di sekitar Pasar Pudu

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 186 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Kutip yang menyasarkan bangunan tempat tinggal warga asing di sekitar Pasar Pudu, di sini tengah malam tadi.

JIM Kuala Lumpur berkata, operasi bermula pada 12.05 tengah malam itu membabitkan seramai 137 pegawai dan anggota daripada JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, JIM Putrajaya, JIM Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurutnya, seramai 320 warga asing diperiksa sebelum 186 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Daripada jumlah yang ditahan, warga Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 118 lelaki, diikuti warga Indonesia seramai 28 orang terdiri daripada tujuh lelaki dan 21 wanita.

“Turut ditahan adalah 26 warga Myanmar (13 lelaki dan 13 wanita), lima warga Vietnam (tiga lelaki dan dua wanita), empat warga Nepal, dua warga India, seorang warga Pakistan serta dua warga China terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita.

“Siasatan awal mendapati mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah,” katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan itu dibawa ke depot imigresen untuk tindakan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button