JENAYAH & MAHKAMAHBERITA SEMASA

Najib akui pengalaman tadbir urus korporat minimum sebelum kerjaya politik

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pengalaman beliau dalam tadbir urus korporat adalah minimum sebelum menceburi bidang politik.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bekas perdana menteri itu menyatakan bahawa beliau tidak menganggap dirinya sebagai pakar korporat, sebaliknya lebih cenderung kepada peranan sebagai ahli politik dan pentadbir kerajaan.

“Saya lebih seorang ahli politik dan seseorang dalam kerajaan, lebih kepada melihat dasar kerajaan secara keseluruhan dan pelaksanaannya. Saya tidak pernah benar-benar terlibat dalam bidang korporat secara langsung,” memetik laporan HM online.

Najib memulakan kerjaya politiknya pada 1976, menggantikan arwah bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, sebagai Ahli Parlimen Pekan, Pahang ketika berusia 23 tahun.

Najib dilepaskan daripada kandang saksi hari ini selepas Muhammad Shafee menamatkan pemeriksaan semula dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sejak prosiding pembelaan bermula pada 2 Disember tahun lalu, Najib, 71, telah berada di mahkamah selama 26 hari, membentangkan kenyataan saksinya setebal 678 muka surat dalam empat jilid.

Sepanjang perbicaraan, beliau menjalani pemeriksaan balas oleh beberapa timbalan pendakwa raya termasuk Kamal Baharin Omar dan Ahmad Akram Gharib.

Muhammad Shafee turut memaklumkan kepada Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa 25 lagi saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan, termasuk pengarah syarikat, peguam dan individu yang didakwa menemani Najib bertemu Raja Arab Saudi pada 2010.

Perbicaraan itu bermula selepas Sequerah memutuskan pada 30 Oktober tahun lalu bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib.

Najib kini menghadapi 25 pertuduhan melibatkan empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa untuk menerima RM2.3 bilion dana 1MDB sebagai rasuah serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan akan bersambung pada 10 Februari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button