BERITA SEMASA

NADI Pekan Ijok sedia peluang sosioekonomi, ruang pembelajaran kepada komuniti setempat

IJOK – Kehadiran masyarakat pelbagai latar belakang pada Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di NADI Pekan Ijok di sini membuktikan pusat tersebut diterima sebagai pusat komuniti terbuka yang menyediakan ruang pembelajaran, kesihatan serta peluang sosioekonomi untuk semua.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, penganjuran program itu menunjukkan sokongan padu masyarakat berbilang kaum terhadap inisiatif kerajaan dalam memperkasa komuniti digital di peringkat akar umbi.

“NADI kini bukan sekadar pusat internet, tetapi telah berkembang menjadi hab komuniti yang inklusif untuk semua golongan baik para pelajar, belia, usahawan, ibu bapa mahupun warga emas untuk memperoleh ilmu, meningkatkan kemahiran dan memperkasa kesejahteraan kendiri,” katanya ketika merasmikan program tersebut di sini hari ini.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul merasmikan Program HBK di NADI Pekan Ijok hari ini.

Program HBK itu turut memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan maklumat serta menyertai pelbagai aktiviti, antaranya pameran usahawan NADI, demonstrasi pertanian pintar, pendaftaran keahlian, saringan kesihatan percuma serta aktiviti Perkhidmatan Pintar yang disediakan untuk semua peringkat umur.

Sementara itu, katanya, NADI yang didirikan di seluruh negara boleh bertindak sebagai platform berkesan dalam memberi pendedahan mengenai proses demokrasi kepada rakyat jelata.

Katanya, melalui kerjasama itu, NADI boleh dijadikan pusat rujukan bagi Program Sekolah Parlimen dan Parlimen Belia, yang berperanan untuk melatih generasi muda dalam kepimpinan dan pemahaman demokrasi.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul merasmikan Program HBK di NADI Pekan Ijok hari ini.

“Usaha ini juga adalah seiring dengan peranan NADI sebagai hab komuniti untuk mendapatkan maklumat yang tepat, sahih dan terkini,” jelasnya.

Sehingga kini, sebanyak 1,099 buah NADI telah beroperasi di seluruh negara, termasuk 84 buah di negeri Selangor dengan lebih 122,653 ahli berdaftar.

Angka ini membuktikan penerimaan positif masyarakat terhadap peranan NADI dalam merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi.

Impak NADI kepada komuniti setempat turut terserlah apabila inisiatif NADI baru-baru ini telah berjaya meraih World Summit on the Information Society (WSIS) Prizes 2025 di Geneva dalam kategori Capacity Building pada Julai 2025 lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button