BERITA SEMASA

‘Mr H arah saya rakam video perbualan’ – Abdul Wahab

Saya dipergunakan untuk menjatuhkan Dr Agus

BANGI – Lelaki yang dikaitkan dengan video perbualan lucah bersama bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff, hari ini muncul bagi menceritakan kisah sebenar di sebalik rakaman tersebut.

Abdul Wahab Abd Kader Jilani,33, berkata, beliau telah diperalatkan oleh individu dalam J-Kom dan mengaku diarahkan untuk merakam video berkenaan oleh individu dikenali sebagai ‘Mr. H’.

“Saya menegaskan perbualan itu telah diedit dan disunting oleh orang yang cuba menjatuhkan Dr Agus.

“Komplot ini didalangi oleh individu berjawatan tinggi dalam J-Kom sendiri yang dikenali sebagai ‘Mr. H’,” kata Abdul Wahabdalam satu sidang akhbar di sebuah hotel, di sini malam tadi.

Beliau yang baharu menyertai J-Kom pada 1 November lalu seterusnya berkata, susulan perjumpaan dengan Mr. H dan individu berkepentingan lain, beliau diberi tugasan untuk merakam video perbualannya dengan Dr Agus.

Kata Abdul Wahab, video asal yang dirakamnya tidak mempunyai audio (suara).

“Lebih mengejutkan lagi, rakaman video tersebut telah disunting dan di edit oleh pihak yang tidak bertanggung jawab dengan teknik ‘voice over’ bagi menunjukkan seolah saya dan dr agus terlibat dalam aktiviti jelik dan tidak bermoral.

Penyebaran video fitnah itu bukan sahaja menjejaskan nama baik dan reputasi Dr Agus, tetapi juga mencemarkan maruah saya.

“Kini saya sedar saya dipergunakan untuk menjatuhkan Dr Agus,” kata Abdul Wahab.

Ketika ditanya sama ada beliau sudah membuat laporan polis, beliau berkata, ” Saya akan buat laporan dalam dua, tiga hari lagi.”

Dalam sidang akhbar yang sama, Dr Agus turut menafikan ketulenan video perbualan lucah sambil berkata, video tersebut telah disunting dan disebarkan dengan sengaja oleh pihak yang tidak bertanggung jawab yang berniat mahu menjejaskan reputasi dan maruah beliau.

Beliau turut memaklumkan sudah membuat laporan polis petang tadi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button