J-KOM pastikan dasar, aspirasi kerajaan MADANI difahami
SEGAMAT – Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) berperanan sebagai jambatan komunikasi antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan dasar dan aspirasi kerajaan difahami secara tepat dan inklusif oleh masyarakat, khususnya generasi muda.
Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop berkata, sebagai sebuah jabatan kerajaan di bawah Kementerian Komunikasi, J-KOM jelas berperanan memperkasa komunikasi strategik kerajaan, mendekatkan jurang antara pemerintah dan rakyat serta membentuk kefahaman berasaskan fakta, bukan persepsi.
“J-KOM ialah jambatan komunikasi antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan dasar dan aspirasi kerajaan difahami secara tepat dan inklusif oleh masyarakat, khususnya generasi muda.
“Dalam masa yang sama, J-KOM membina pemikiran rakyat berasaskan nilai MADANI iaitu ihsan, hormat, tanggungjawab dan integriti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Ukhuwah MADANI –Gerakan Mahasiswa Moden: Intelektual, Kritis & Progresif yang berlangsung di UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat di sini.
Ismail berkata, J-KOM juga mahu melahirkan generasi yang bukan sekadar celik akademik, tetapi juga celik nilai.
Katanya, dalam dunia pasca normal yang sarat dengan maklumat dan ketidaktentuan, peranan itu semakin penting.
“Ukhwah MADANI menjadi platform untuk membawa suara kerajaan ke kampus dan mendengar suara mahasiswa sebagai suara masa depan.
“Tema program hari ini Gerakan Mahasiswa Moden: Intelektual, Kritis dan Progresif amat bertepatan dengan semangat UiTM Segamat yang sinonim dengan tenaga muda, idea segar dan kepimpinan pelajar.
“Mahasiswa intelektual ialah mereka yang berfikir dengan ilmu, bukan emosi. Mahasiswa kritis ialah mereka yang berani bersuara dengan adab dan fakta manakala mahasiswa progresif ialah mereka yang berpandangan jauh dan berani mencipta peluang dalam dunia baharu.
“Apabila ketiga-tiga nilai ini iaitu intelektual, kritis dan progresif digabung dengan ihsan, hormat dan tanggungjawab, maka lahirlah generasi belia MADANI, generasi yang matang berfikir, celik maklumat dan berani membentuk masa depan negara,” katanya.
Program tersebut merupakan inisiatif strategik J-KOM dan UiTM bagi memperkukuh peranan mahasiswa sebagai pemangkin perpaduan, kesejahteraan sosial serta kelestarian negara, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Menerusi Gerakan Mahasiswa Moden: Intelektual, Kritis & Progresif, program itu menjadi platform pendidikan tidak formal yang memberi peluang kepada lebih 400 orang mahasiswa daripada pelbagai fakulti serta institusi pengajian tinggi awam dan swasta di sekitar Johor untuk mendalami isu kenegaraan, memupuk nilai patriotisme dan memperkukuh semangat perpaduan nasional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















