JENAYAH & MAHKAMAH

Mengamuk di restoran : Ibu tunggal ada bipolar didenda

IPOH – Seorang ibu tunggal yang mengamuk di sebuah restoran di sini minggu lalu dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret hari ini atas tiga pertuduhan termasuk mencederakan pekerja dan melakukan khianat.

Tertuduh, Nurfarahanim Soaid, 29, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Anis Hanini Abdullah dan Mohd. Harith Mohd. Mazlan, lapor Astro Awani.

Di hadapan Anis Hanini, tertuduh yang mempunyai tiga orang anak mengaku dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang pekerja lelaki dengan cara menampar dan menumbuk mangsa.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Mohd. Harith, tertuduh yang bekerja sebagai peniaga kuih dengan pendapatan kira-kira RM500 sebulan didakwa atas dua pertuduhan lain.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja mencederakan seorang lagi pekerja lelaki menggunakan senjata berbahaya iaitu garpu, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan memecahkan tiga keping cermin penghadang makanan milik restoran berkenaan, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Taman Tasek Damai, dalam daerah Ipoh, kira-kira pukul 6.26 pagi, 28 Januari lalu.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukuman paling ringan dengan alasan memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) kerana menghidap penyakit bipolar disorder, selain perlu menyara tiga orang anak.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,800 atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda bagi pertuduhan di hadapan Anis Hanini.

Bagi dua pertuduhan di hadapan Mohd. Harith, tertuduh didenda RM6,000 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan mencederakan menggunakan senjata berbahaya, manakala RM4,000 atau penjara 10 bulan bagi pertuduhan khianat.

Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang wanita selepas disyaki mengamuk sehingga menyebabkan kerosakan harta benda dan mencederakan pekerja di sebuah restoran di Jalan Tawas Baru 1, Taman Tasek Damai.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek berkaitan urusan pembayaran di premis berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button