Menara Kuala Lumpur diterangi warna biru sempena minggu perpaduan
KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur akan dihiasi pancaran cahaya biru bermula 18 dan 19 Julai ini sebagai tanda solidariti terhadap penganjuran Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, simbolik pencahayaan itu mencerminkan iltizam negara dalam memupuk perpaduan dan keharmonian antara kaum yang menjadi asas kestabilan Malaysia.
“Cahaya biru yang menerangi Menara Kuala Lumpur merupakan lambang perpaduan rakyat berbilang kaum yang hidup dalam suasana penuh hormat dan harmoni,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Menara Kuala Lumpur atas kerjasama strategik dalam menyemarakkan semangat sambutan peringkat kebangsaan kali ini.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Othman menegaskan komitmen beterusan pihak pengurusan Menara Kuala Lumpur dalam menyokong inisiatif kerajaan ke arah menyatupadukan rakyat melalui simbol-simbol visual yang berimpak tinggi.
“Kami percaya menerangi Menara Kuala Lumpur bukan sekadar pencahayaan, sebaliknya isyarat jelas bahawa semangat perpaduan adalah tanggungjawab kolektif seluruh masyarakat,” jelasnya.
Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan merupakan acara tahunan Kementerian Perpaduan Negara yang dirangka bagi memperkukuh semangat dalam meningkatkan apresiasi terhadap keunikan budaya masyarakat majmuk di negara ini.
Bagi edisi 2025, sambutan akan berlangsung di Pekarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang dari 17 hingga 20 Julai ini, melibatkan pelbagai aktiviti bertemakan perpaduan nasional.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







