
Megadeth umum album terakhir, bersara tahun depan
LOS ANGELES – Kumpulan thrash metal legenda, Megadeth mengumumkan pengakhiran bagi perjalanan muzik selama lebih empat dekad dengan pelancaran album terakhir mereka tidak lama lagi.
Pengasas dan juga vokalis, Dave Mustaine berkata, pelancaran album studio ke 17 itu menandakan persaraan karier Megadeth yang akan diikuti dengan siri konsert jelajah dunia pada tahun depan.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan mereka bersara ketika masih berada di puncak kerjaya dan masih bertenaga menghiburkan jutaan peminat di peringkat global.
“Ramai pemuzik mengakhiri karier mereka secara tidak sengaja atau terpaksa tetapi saya bersyukur dapat melakukannya atas kehendak sendiri.
“Paling sukar adalah mengucapkan selamat tinggal kepada jutaan peminat di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan selepas teaser “The end is near…” yang dimuat naik di media sosial semalam.
Bagaimanapun, Mustaine belum mendedahkan judul dan tarikh pelancaran album terakhir tersebut dan meminta peminat supaya menyambut keputusan itu dengan positif.
“Jangan marah atau sedih, sebaliknya raikan bersama kami. Kita telah mencipta sesuatu yang luar biasa, satu revolusi muzik yang mengubah dunia gitar dan muzik metal,” ujarnya.

Megadeth ditubuhkan pada 1983 selepas Mustaine meninggalkan Metallica dan muncul sebagai salah satu daripada empat kumpulan thrash metal paling berpengaruh atau “Big Four”, bersama-sama Metallica, Slayer dan Anthrax.
Antara album terkenal mereka adalah Rust in Peace, Countdown to Extinction dan Peace Sells… but Who’s Buying? yang menumpukan isu-isu geopolitik semasa, ketenteraan dan kritikan sosial.
Album Rust in Peace pula dianggap rujukan dalam thrash metal kerana susunan gitar yang kompleks tetapi masih mengekalkan tempo pantas dan bertenaga.
Walaupun mengalami banyak pertukaran ahli, Megadeth dipuji kerana mengekalkan gaya thrash metal yang konsisten tanpa terlalu banyak perubahan arah muzik.
Anggota kumpulan klasik Megadeth yang dikenali ramai ialah Dave Mustaine, David Ellefson, Marty Friedman (gitar utama) dan Nick Menza (dram) yang disifatkan sebagai zaman keemasan Megadeth.
Megadeth pernah membuat persembahan di Malaysia pada 2017 di Stadium Negara, sebagai jelajah album mereka, Dystopia. Penganjuran konsert mereka pada 2001 pernah diharamkan kerajaan.
Dengan pengumuman itu, era Megadeth bakal berakhir sekaligus meninggalkan warisan muzik yang telah membentuk landskap thrash metal dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








