HIBURAN

Fazura umum bersara daripada drama TV: Mahu fokus keluarga, projek filem

KUALA LUMPUR – Pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura mengumumkan keputusan untuk bersara daripada membintangi sebarang drama terbitan stesen televisyen tempatan.

Menurut Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 43, keputusan itu dibuat selepas menilai pelbagai faktor termasuk kekangan masa dan komitmen panjang penggambaran drama bersiri.

“Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan, jadi saya bercakap dengan ‘beralas’.

“Buat masa ini, secara rasminya saya bersara daripada berlakon drama di semua stesen TV (televisyen) di Malaysia.

“Namun, saya masih terbuka untuk tawaran filem tetapi bergantung kepada projek sama ada di Malaysia dan Indonesia,” katanya ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 di Jakel Mall, di sini semalam.

Menurut Fazura, beliau tiada masa untuk terbabit dengan drama yang memerlukan komitmen tempoh penggambaran panjang selain mahu memberi tumpuan penuh kepada anak perempuannya, Nur Fatima Aisya yang kini berusia enam tahun.

“Fatima sangat rapat dengan saya dan dia juga mengalami ‘separation anxiety’ (kebimbangan akibat perpisahan).

“Dia tak boleh berjauhan dengan saya terlalu lama. Kalau saya keluar bekerja dalam tempoh yang panjang, dia memang akan cari saya.

“Kalau nak tidur pun dia tunggu saya balik,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Gambar Nur Fazura bersama anaknya, Nur Fatima Aisya. – Foto Instagram @missfazura

Walaupun mengumumkan persaraan daripada drama televisyen, Fazura menyerahkan sepenuhnya perjalanan kerjaya seninya kepada ketentuan Ilahi.

“Ini memang satu keputusan besar, namun saya tekad. Sekali lagi saya bercakap dengan ‘beralas’.

“Hari ini (semalam), secara rasminya saya mengumumkan bersara, namun kita tidak tahu ketentuan Allah pada masa hadapan,” ujarnya.

Mengulas perkembangan kerjaya muzik, Fazura berkata beliau akan terus berkarya sebagai penyanyi di bawah naungan Universal Music Malaysia.

“Berkaitan bidang muzik pula, masih ada beberapa perancangan, termasuk daripada Universal Music Malaysia. Saya juga masih berminat untuk menghasilkan lagu.

“Sekarang saya sudah mula mengikuti kelas vokal. Sudah tentu saya bukan penyanyi profesional, kerana minat saya tetap pada lakonan.

“Namun, minat terhadap muzik masih ada. Jika ada karya atau lagu yang menarik daripada penerbit, mudah-mudahan ada lagi selepas ini,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button