BERITA SEMASA

MAWIM kesal kandungan video Jorjet Myla, seru golongan wanita supaya beradab

KUALA LUMPUR — Majlis Wanita Islam YADIM (MAWIM) menyeru masyarakat, khususnya golongan wanita, agar terus mengamalkan adab dan etika tinggi dalam memberikan komen di laman sosial serta meraikan kepelbagaian pandangan dengan penuh berhemah.

Pengerusinya, Prof Dr Zuriati Ahmad Zukarnain berkata, kebebasan bersuara yang dimiliki pada era digital perlu disertai dengan tanggungjawab tinggi, berlandaskan prinsip literasi digital serta nilai adab dan etika.

Menurut beliau, MAWIM kesal dengan penularan sebuah video di platform digital yang melibatkan individu dikenali sebagai Jorjet Myla, yang dilaporkan sedang disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kandungan yang didakwa menghina Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Wanita sebagai lambang kelembutan dan tiang seri negara akan lebih dihormati apabila terus memelihara adab, keperibadian dan penampilan, sama ada dalam masyarakat mahupun di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jorjet Myla
Jorjet Myla

Beliau menegaskan bahawa keindahan peribadi bukan hanya terletak pada rupa, tetapi turut mencerminkan tutur kata, kebijaksanaan dalam berkomunikasi serta keupayaan mengawal emosi ketika berdepan pelbagai pandangan.

Dalam masa sama, MAWIM mengingatkan bahawa perbezaan pandangan bukanlah alasan untuk berpecah, sebaliknya perlu diraikan sebagai peluang untuk saling memahami, memperkukuh perpaduan dan membina masyarakat lebih harmoni.

“Teguran yang disuarakan hendaklah berlandaskan adab, menggunakan kata-kata yang baik, berasaskan fakta sahih serta disampaikan dengan hikmah untuk tujuan membina, bukan meruntuhkan,” jelasnya.

Tambah beliau, prinsip tersebut selaras dengan firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim ayat 24 yang mengumpamakan kalimah yang baik sebagai pohon yang teguh akarnya dan menjulang tinggi cabangnya.

Sehubungan itu, MAWIM mengajak semua pihak memanfaatkan ruang media sosial secara positif dengan menyampaikan pandangan secara beradab, bermaruah dan penuh hikmah demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button