
Maritim Tanjung Manis tahan 5 nelayan langgar syarat perikanan
TANJUNG MANIS – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di perairan Pantai Alit, malam kelmarin selepas disyaki melanggar syarat sah lesen.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Anak Numpang berkata, bot ronda Maritim Malaysia dalam rondaan rutin Op Permai dan Op Tiris 3.0 di sekitar perairan Kabong telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan yang mencurigakan melakukan aktiviti perikanan pada sekitar pukul 10.20 malam.
“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan ke atas bot itu mendapati terdapat lima kru termasuk tekong warga tempatan berumur dalam lingkungan 25 hingga 42 tahun.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menjalankan aktiviti menunda pukat kurang 10 batu nautika dari pantai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bot beserta kru ditahan sebelum diiring ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis untuk siasatan lanjut.
Beliau turut menyarankan semua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
Sementara itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35728765 atau MERS 999 untuk mendapatkan bantuan segera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








