
Maqis Pulau Pinang rampas 10kg tikus salai
CYBERJAYA – Cubaan seorang penumpang dari Vietnam untuk membawa masuk 10 kilogram (kg) tikus salai berjaya digagalkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) Pulau Pinang.
Menurut pengarahnya, Muhammad Ikram Abdul Talib, rampasan tikus salai bernilai RM1,000 itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kastam.
Kata Muhammad Ikram, barang larangan itu dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), dengan dengan bantuan mesin pengimbas Jabatan Kastam dan pemeriksaan pegawai Maqis, semalam.
“Tikus salai tersebut dijumpai semasa pemeriksaan bagasi seorang penumpang dari Vietnam.
“Kita merampas tikus salai berkenaan selepas mendapati ia dibawa masuk ke negara ini tanpa kebenaran,” katanya.
Beliau berkata, tindakan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit sah merupakan kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dihukum bawah Seksyen 11(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan, katanya, individu itu boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya.
Ikram berkata, tikus boleh menyebabkan penyakit berjangkit secara langsung dan tidak langsung.
“Maqis sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara.”
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








