BERITA SEMASA

Bekalan lembu korban Aidiladha mencukupi, 27,000 ekor diimport

PADANG BESAR – Bekalan lembu bagi tujuan ibadah korban sempena sambutan Aidiladha tahun ini dijamin mencukupi apabila lebih 27,000 ekor ternakan dibawa masuk ke negara ini menerusi beberapa pintu sempadan utama.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Dr. Azhari Sharidan Abu Bakar berkata, kebanyakan lembu yang diimport dari Thailand itu telah melalui pemeriksaan kesihatan serta proses kuarantin ketat sebelum dibenarkan dijual dan disembelih.

Menurut beliau, semua ternakan diwajibkan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari bagi memastikan haiwan terbabit bebas daripada penyakit berjangkit termasuk penyakit kuku dan mulut (FMD) serta Lumpy Skin Disease (LSD).

“Dua penyakit ini antara yang diberi perhatian utama sepanjang tempoh kuarantin bagi memastikan ternakan yang dibawa masuk benar-benar selamat,” katanya seperti dilaporkan Bernama ketika ditemui di Stesen Kuarantin Haiwan MAQIS Padang Besar, di sini.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 1,000 ekor kerbau turut direkodkan dibawa masuk ke negara ini bagi menampung permintaan sempena Aidiladha.

Dalam pada itu, beliau menegaskan setiap haiwan ternakan yang memasuki negara ini perlu melepasi saringan MAQIS bagi memastikan kawalan penyakit dapat dilaksanakan secara berkesan demi menjaga keselamatan awam dan industri ternakan tempatan.

Katanya, MAQIS tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran syarat kuarantin termasuk tindakan membawa keluar ternakan sebelum tamat tempoh ditetapkan.

“Kesalahan membawa keluar lembu sebelum cukup tempoh kuarantin 14 hari boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011.

“Tahun lalu kita merekodkan satu kes ketidakpatuhan, manakala dua kes direkodkan pada tahun sebelumnya,” katanya.

Menurut beliau, selain menggunakan stesen kuarantin milik kerajaan, pengimport turut dibenarkan menempatkan ternakan di premis kuarantin swasta yang mendapat kelulusan MAQIS, namun semua lokasi terbabit tetap dipantau secara berkala oleh pegawai jabatan itu.

“Sekiranya stesen kuarantin MAQIS penuh, ternakan boleh ditempatkan di premis kuarantin swasta atau di lokasi sendiri dengan syarat mendapat kelulusan MAQIS terlebih dahulu,” katanya.

Tambah beliau, terdapat tiga pintu masuk utama bagi kemasukan haiwan ternakan ke negara ini iaitu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, ICQS Bukit Kayu Hitam di Kedah serta ICQS Rantau Panjang di Kelantan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button