BERITA SEMASADALAM NEGERI

MAQIS gagalkan cubaan seludup 640 tan daging khinzir

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan sebanyak 24 cubaan penyeludupan daging khinzir berjaya digagalkan melibatkan rampasan kira-kira 640 tan metrik dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, semua rampasan itu adalah hasil tindakan penguatkuasaan berterusan yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di pintu masuk sempadan negara.

“MAQIS melaksanakan pemeriksaan dokumen termasuk permit import, sijil kesihatan veterinar serta pemeriksaan fizikal kontena.
“Persampelan turut dilakukan bagi memastikan produk bebas penyakit sebelum dibenarkan masuk,” katanya ketika menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sim bertanyakan mengenai tindakan penguatkuasaan terhadap pengimportan dan penyeludupan daging khinzir dari luar negara khususnya dari Thailand serta negara-negara yang dikenal pasti mempunyai wabak Streptococcus suis dan Demam Babi Afrika (ASF).

Dalam pada itu, Arthur memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) turut merekodkan 18 kes rampasan melibatkan pemindahan karkas babi tanpa kebenaran di beberapa negeri.

Antara negeri yang terlibat ialah Kelantan, Selangor, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan, dengan jumlah rampasan dianggarkan mencecah 114 tan metrik bernilai RM3.05 juta.

Berikutan itu, tindakan undang-undang tegas akan dikenakan terhadap pihak yang didapati bersalah mengikut peruntukan di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) serta Akta Binatang 1953 (Akta 647).

Menurut beliau, kerjasama strategik turut diperkukuhkan menerusi pelaksanaan operasi bersepadu bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Kementerian juga meningkatkan kerjasama dengan negara jiran serta mempergiatkan program kesedaran orang ramai bagi membanteras risiko kemasukan daging haram yang boleh menjejaskan kesihatan awam dan industri penternakan negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button