Mangsa kemalangan di Tol Bukit Kajang kritikal, isteri mohon doa orang ramai
KAJANG – Suasana pilu menyelubungi keluarga dua kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang parah dalam kemalangan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang semalam, apabila seorang daripadanya kini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Noraini Mohd Zan, 45, merayu doa orang ramai buat suaminya, Mohd Hafizi Anuar, 47, kakitangan JKR Shah Alam yang dilaporkan kritikal dan sedang ditidurkan.
“Suami saya cedera parah di pinggul, tulang rusuk serta mengalami pendarahan di kepala. Doktor kata paras oksigen stabil, tapi fizikalnya tidak.
“Dia baru jalani pembedahan di pinggul dan kini ditempatkan di ICU. Esok akan buat imbasan CT untuk lihat keadaan pendarahan di kepala,” katanya sebak ketika ditemui di Hospital Kajang, hari ini.
Noraini berkata, dia menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar pukul 11 pagi semalam ketika berada di rumah di Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang.

“Sebaik tiba di hospital, hati saya remuk melihat keadaan suami yang tidak sedarkan diri.
“Doktor maklumkan keadaan suami boleh jadi lebih baik atau sebaliknya, bergantung kepada perkembangan selepas imbasan CT,” katanya memetik laporan Metro Online.
Menurut Noraini, sebelum berangkat kerja semalam, suaminya sempat bersalam dan berbual ringkas dengannya. Pasangan itu mempunyai dua anak.
Seorang lagi mangsa, Aliq Nazua Muhammad Muslal, 35, turut parah namun kini sedar dan dirawat di hospital sama.
Isterinya, Nurul Atikah Mohd Raduan, 35, berkata, suaminya cedera di muka, bahu, pinggang serta tulang rusuk dan sepatutnya menjalani pembedahan bahu hari ini, namun ditunda berikutan bengkak yang serius.
“Doktor perlu buang pendarahan dahulu sebelum masukkan plat di bahu kiri.
“Suami pun masih belum dapat kepastian berhubung kecederaan tulang pinggangnya kerana doktor sedang pantau,” katanya.
Nurul Atikah yang juga kakitangan JKR Klang berkata, suaminya tidak mengingati detik kejadian, hanya tersedar ketika orang ramai cuba membantu.
“Dia asyik bertanya keadaan rakannya, Hafizi, sama ada sudah buka mata atau belum,” katanya.
Pasangan itu mempunyai tiga anak berusia lapan, tujuh dan empat tahun.
Nurul Atikah berharap suaminya dapat dipindahkan ke hospital di Shah Alam kerana lebih dekat dengan kediaman mereka di Klang.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pegawai JKR Selangor yang segera turun padang memberi sokongan.
Dalam kejadian semalam, seorang bayi maut manakala lapan individu lain cedera dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Plaza Tol Bukit Kajang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








