BERITA SEMASA

Malaysia, New Zealand perkukuh kerjasama strategik, pendidikan tinggi dan TVET jadi keutamaan

WELLINGTON – Malaysia dan New Zealand memperkukuh hubungan dua hala dengan memeterai pelbagai kerjasama strategik merangkumi sektor perdagangan, pendidikan tinggi, tenaga boleh diperbaharui dan industri halal.

Selain itu, fokus utama turut diberikan kepada Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertemuan beliau bersama Timbalan Perdana Menteri New Zealand merangkap Menteri Undang-undang serta Timbalan Menteri Pendidikan, Kesihatan dan Kewangan, David Seymour membuka ruang lebih luas untuk memperkasa sinergi antara kedua-dua negara.

Ahmad Zahid menghadiri Forum Halal di Perpustakaan Negara Wellington bagi memperkukuh agenda halal antarabangsa.

“Malaysia komited untuk kekal menjadi rakan dagang dan pelaburan yang teguh kepada New Zealand khususnya dalam sektor petroleum, elektrik dan elektronik, produk kimia, kelapa sawit dan logam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lawatan kerja Ahmad Zahid turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persetujuan (MoA) dalam bidang pendidikan tinggi antara institusi Malaysia dan New Zealand.

Ia termasuk kerjasama dalam TVET, Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pembangunan tenaga pengajar serta teknologi pendidikan.

“Kerjasama ini bukan sahaja mampu memperkaya sistem pendidikan negara, malah turut membuka ruang penyelidikan bersama dan mobiliti pelajar serta pensyarah di peringkat global,” ujar beliau.

Turut berlangsung ialah Majlis Pertukaran Dokumen Kolaborasi antara Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Victoria University of Wellington (VUW) serta beberapa universiti terkemuka New Zealand yang memfokuskan kepada pertukaran kurikulum, pembelajaran berasaskan aplikasi dan program pembangunan profesional.

Dalam satu lagi sesi penting, Ahmad Zahid menghadiri Forum Halal bersama Menteri Biosekuriti dan Keterjaminan Makanan New Zealand, Andrew Hoggard di Perpustakaan Negara Wellington bagi memperkukuh agenda halal antarabangsa.

“Sektor halal bukan sahaja berkait dengan kepatuhan syariah tetapi ia adalah pemacu ekonomi baharu yang melibatkan inovasi, keselamatan makanan dan kelestarian industri,” katanya lagi.

Timbalan Perdana Menteri berucap pada forum tersebut. 

Beliau turut mengiktiraf peranan penting dua badan pensijilan halal New Zealand yang diiktiraf Malaysia iaitu Federation of Islamic Associations of New Zealand (FIANZ) dan New Zealand Islamic Development Trust (NZIDT).

Mengulas perbincangan berkaitan tenaga boleh diperbaharui dan kenderaan elektrik (EV), Zahid berkata, Malaysia sedang giat melaksanakan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan strategi penyahkarbonan industri.

“Kerjasama erat dengan New Zealand akan mempercepatkan transisi ke arah ekonomi rendah karbon,” ujarnya.

Lawatan itu turut menyaksikan pemeteraian Surat Hasrat (LoI) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan University of Canterbury (UC), New Zealand dalam bidang teknologi makanan halal, kejuruteraan kimia dan proses, serta pembangunan lestari.

“Usaha ini membuktikan komitmen kita untuk mempromosi jenama pendidikan Malaysia ke persada antarabangsa.

“Program seperti EduTourism harus digiatkan untuk menarik pelajar asing menyertai institusi kita,” kata beliau.

Ahmad Zahid juga menzahirkan harapan agar semua kerjasama yang dimeterai bukan sahaja memperkukuh hubungan Malaysia–New Zealand, malah membuka lembaran baharu dalam jaringan pendidikan, penyelidikan dan inovasi global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button