Malaysia–Jepun perkukuh kerjasama strategik dalam AI, tenaga dan keselamatan maritim
TOKYO – Hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun terus diperkukuh merangkumi pelbagai bidang strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, peralihan tenaga, keselamatan maritim serta kerjasama kewangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negara berkongsi komitmen untuk memperdalam hubungan strategik yang bukan sahaja memberi manfaat bersama, malah mampu menangani cabaran global yang semakin kompleks.
Menurut beliau, Jepun kekal sebagai rakan dipercayai Malaysia sejak sekian lama serta memainkan peranan penting dalam pembangunan negara sejak era 1970-an.
“Kami amat menghargai sokongan Jepun dalam pembangunan Malaysia yang bermula sejak awal proses perindustrian dan terus berkembang hingga hari ini,” katanya ketika berucap di Forum Nikkei hari ini.
Beliau berkata, perbincangan bersama pihak Jepun turut memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan keselamatan maritim, industri strategik, pembangunan modal insan serta kerjasama serantau dan antarabangsa.
“Kepentingan peralihan tenaga dan usaha memperkukuh kerjasama kewangan termasuk penggunaan mata wang tempatan iaitu ringgit dan yen dalam transaksi dua hala,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia turut memuktamadkan perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) antara Petronas dan JERA Jepun melibatkan bekalan sebanyak 2 juta tan setahun selama 20 tahun bermula 2028.
Perjanjian itu merupakan pencapaian penting yang mencerminkan tahap kepercayaan tinggi antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri turut memaklumkan kerjasama antara Bank Negara Malaysia dan Bank of Japan akan terus diperkukuh bagi mempertingkat kestabilan kewangan serantau.
Dalam masa sama, Malaysia dan Jepun turut berkongsi pandangan mengenai isu serantau termasuk keamanan di Myanmar serta usaha memperkukuh kerangka ASEAN dan konsep Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka.
“Kita akan terus memperkukuh kerjasama ini demi kepentingan bersama,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















