BERITA SEMASA

Maki hamun lebih menonjol, usaha kerajaan tenggelam – Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan kekecewaan apabila pelbagai dasar dan pencapaian Kerajaan MADANI dilihat tidak sampai kepada rakyat, sebaliknya kandungan negatif serta maki hamun lebih mendapat perhatian di media sosial.

Menurut Anwar, situasi itu menyebabkan usaha kerajaan seolah-olah tenggelam meskipun puluhan inisiatif telah

diperkenalkan untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat.

“Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid kata ada 140 ikhtiar baharu.

“Sebenarnya kalau kita kira 167 kesemuanya, tetapi tidak sampai kepada khalayak.

“Apa yang sampai itu hanya ‘sampah’, sumpah dan maki hamun… media sosial itu digunakan bukan untuk membina, tetapi menghina,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 di sini, hari ini.

Anwar berkata, keadaan itu turut menimbulkan gambaran tidak tepat seolah-olah kerajaan tidak menjalankan sebarang pembaharuan, sedangkan pelbagai dasar baharu dilaksanakan secara berterusan.

Beliau berkata, penjawat awam perlu memainkan peranan penting dalam memastikan maklumat tepat sampai kepada masyarakat, selain memberi penjelasan yang konsisten mengenai dasar kerajaan.

“Tugas kita menyampaikan apa yang dilakukan dan menegur atau mencadangkan apa yang perlu ditambah dan diperbaiki,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, Kerajaan MADANI tidak menolak kritikan, namun teguran perlu berasaskan fakta bagi membantu memperkukuh pelaksanaan dasar negara.

“Saya tak salahkan rakyat… kadang-kadang mereka tidak sabar menunggu hasil sesuatu projek, maka perlu dijelaskan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button