Majlis Media Malaysia: Fahmi serah watikah kepada 12 ahli Lembaga Pengasas
KUALA LUMPUR – Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) melangkah ke fasa penting apabila Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini menyerahkan watikah pelantikan kepada 12 anggota Lembaga Pengasas badan itu.
Menurut Fahmi, penyerahan watikah berkenaan dibuat susulan pewartaan rasmi yang ditandatangani beliau semalam bagi mengesahkan pelantikan kesemua anggota lembaga tersebut.

“Ini merupakan satu tarikh yang besar kerana semalam saya telah menandatangani warta untuk mengesahkan pelantikan 12 anggota Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan watikah, di sini hari ini.
Beliau berkata, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan proses penubuhan MMM secara menyeluruh termasuk aspek kewangan.

“Kita akan bantu dari segi memudah cara, termasuk dalam soal peruntukan kewangan, bagi memastikan Lembaga Pengasas ini dapat menjalankan peranan mereka dengan baik sehingga berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pertama.
“Selepas AGM itu, barulah ahli lembaga yang baharu dipilih bagi mengemudi Majlis Media Malaysia ke hadapan,” katanya lagi.
Fahmi berkata, kerajaan komited untuk membantu memperkukuh peranan media di negara ini, bukan sahaja untuk kekal bebas dan berdikari, tetapi juga bertanggungjawab dan beretika.
“Yang paling penting, media kita perlu mampan dan bersedia menghadapi perubahan landskap penyampaian maklumat yang berlaku dengan pantas ketika ini.
“Kita akan teruskan perbincangan bersama Lembaga Pengasas untuk kenal pasti keperluan mereka. Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat yang akan diadakan dalam masa terdekat,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fahmi turut memaklumkan AGM pertama MMM dijadualkan berlangsung pada 7 November ini, manakala lokasi dan masa akan diumumkan kelak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







