Mahu dapat wang mudah, sanggup curi penapis air masjid, jual di Facebook
NILAI – Gara-gara mahu mendapatkan wang dengan mudah, sekumpulan lelaki sanggup mencuri mesin penapis air di masjid dan menjualnya semula di media sosial.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, empat daripada lima suspek yang terlibat dalam kes tersebut didapati positif dadah dan semuanya mempunyai rekod jenayah.

“Pihak polis menerima tiga laporan berhubung kes kecurian mesin penapis air di tiga buah masjid di sekitar daerah ini pada 30 Jun lalu.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Nilai dan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan berjaya menahan lima lelaki tempatan.
“Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 40-an itu diberkas dalam dua siri tangkapan yang dijalankan di kawasan Pangsapuri Bandar Tasik Kesuma dan Beranang, Selangor semalam,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Abdul Malik berkata, tangkapan pertama dilakukan sekitar pukul 12 tengah hari, manakala tangkapan kedua terhadap tiga lagi suspek berjaya dibuat 15 minit selepas itu.
Menurut beliau, penangkapan suspek membawa kepada penemuan dan rampasan barang kes utama iaitu satu unit mesin penapis air yang dicuri pada 30 Jun lalu.
“Turut dirampas ialah sebuah Proton Gen-2, telefon bimbit, pakaian dipakai suspek ketika kejadian dan peralatan digunakan untuk mencabut mesin berkenaan.
“Siasatan awal mendapati semua suspek menggunakan media sosial untuk mencari pembeli barang curi. Mereka juga menyasarkan masjid yang kurang pengunjung dan mencuri penapis air yang diletakkan di luar ruang solat.
“Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah dan kes narkotik. Ujian saringan air kencing mendapati empat daripada lima suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Abdul Malik berkata, permohonan reman terhadap suspek dibuat pagi ini bagi meneruskan siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

