JENAYAH & MAHKAMAH

Lumba haram di Hat Yai, 10 rakyat Malaysia disaman

KOTA BHARU – Sepuluh rakyat Malaysia disaman kerana terlibat dalam perlumbaan haram jalanan di Hat Yai, Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Pelancong Thailand (Wilayah Ketujuh), Leftenan Kolonel Sakarin Anusaman Sakul berkata, tangkapan dibuat setelah penduduk tempatan membuat aduan mengenai sekumpulan pelumba yang membuat bising dan menghalang lalu lintas berhampiran Pasar Malam Greenway, lapor NST.

Katanya, beberapa penduduk turut melaporkan melihat beberapa kereta bernombor pendaftaran Malaysia berlumba di jalan sekitar Hat Yai.

“Bertindak atas aduan, polis Kho Hong dengan bantuan pegawai pelancongan dan trafik berjaya mengenal pasti identiti warga Malaysia terlibat melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Kumpulan itu akhirnya berjaya dikesan dan kesemua enam kenderaan bersama pemandu dan penumpang ditahan sekitar pukul 11 pagi semalam (waktu Thailand).

“Kesemua 10 individu yang berumur antara 21 hingga 25 tahun itu telah disaman mengikut undang-undang trafik Thailand,” katanya, hari ini.

Difahamkan, kumpulan rakyat Malaysia itu memasuki Hat Yai 16 Mei lalu dengan menaiki enam kereta sedan berdaftar di Malaysia untuk percutian hujung minggu.

Kolonel Sakarin turut memaklumkan, kumpulan itu berdepan empat pertuduhan iaitu memandu secara menghalang lalu lintas, memandu secara berbahaya, mengubah suai kenderaan tanpa kebenaran dengan menggunakan alat ganti yang tidak mematuhi piawaian, serta tidak melengkapkan peralatan kenderaan seperti yang diwajibkan.

“Sebagai tanda penyesalan, kesemua warga Malaysia terbabit turut melakukan isyarat hormat tradisional Thailand (wai). Mereka memohon maaf atas perbuatan serta gangguan yang telah berlaku dan berjanji tidak akan mengulanginya,” tambahnya.

Susulan kejadian itu, kumpulan berkenaan turut diarahkan untuk pulang ke Malaysia dengan serta-merta.

Beliau turut mengingatkan semua pemandu asing, termasuk dari Malaysia, supaya mematuhi undang-undang ketika memandu di Thailand.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button