BERITA SEMASALUAR NEGARA

Lelaki bersenjata tawan tebusan di sekolah selatan Thailand

SONGKHLA – Seorang lelaki berusia 18 tahun bertindak melepaskan tembakan sebelum menawan beberapa individu sebagai tebusan di sebuah sekolah di wilayah Songkhla, selatan Thailand, dalam kejadian petang ini.

Suspek dilaporkan memasuki Sekolah Patongprathankiriwat di daerah Hat Yai dengan membawa sepucuk senjata api sebelum melepaskan beberapa das tembakan, menurut pentadbiran wilayah menerusi kenyataan di media sosial.

Bagaimanapun, pihak polis berjaya menamatkan insiden tersebut dalam tempoh singkat dan membebaskan semua tebusan yang ditahan.

“Tertuduh telah ditahan,” kata Timbalan Superintendan Songkhla, Wichian Soboon kepada Reuters.

Menurut seorang lagi pegawai polis, sekurang-kurangnya tiga individu cedera dalam kejadian berkenaan, namun keadaan mangsa tidak diperincikan.

Keganasan bersenjata serta pemilikan senjata api bukan sesuatu yang luar biasa di Thailand.

Pada 2022, negara itu digemparkan dengan insiden serangan bersenjata dan pisau oleh seorang bekas anggota polis yang mengorbankan 36 orang, termasuk 22 kanak-kanak di sebuah pusat asuhan di timur negara berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button