Lelaki lemas di Pantai Sungai Labu diklasifikasi mati mengejut
SHAH ALAM – Polis mengklasifikasikan kes kematian seorang lelaki warga tempatan yang ditemukan lemas di Pantai Sungai Labu, Kampung Sungai Leman, Sekinchan kelmarin sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad berkata, mangsa berusia 21 tahun itu dipercayai sedang menjaring ikan sebelum terjatuh ke dalam laut.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 7.26 malam.
“Mangsa ditemukan di atas pengusung jalan ban laut dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mangsa dipercayai berada di dalam laut kira-kira dua jam sebelum ditemui oleh seorang lelaki,” memetik Buletin TV3 online.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam untuk tindakan lanjut.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di kawasan laut serta mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








