Lee Zii Jia tolak sertai RTG, jawatankuasa hormat keputusan
PUTRAJAYA – Pemain perseorangan badminton negara, Lee Zii Jia, menolak tawaran untuk menyertai Program Road to Gold (RTG) meskipun dipelawa secara rasmi oleh Jawatankuasa Tertinggi program tersebut.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dalam sidang media di menara KBS di sini, hari ini.
Menurut Hannah, Lee Zii Jia telah membuat keputusan berdasarkan pertimbangannya sendiri dan pihak RTG menghormati pendirian atlet profesional itu.
“Lee Zii Jia telah menyatakan keputusan untuk tidak menyertai program RTG atas alasan tersendiri.
“Jawatankuasa RTG menghormati keputusan Lee Zii Jia dan kami sentiasa mengharapkan yang terbaik untuk beliau,” katanya
Keputusan itu dibuat selepas satu pertemuan diadakan antara Hannah dan Zii Jia sebelum ini.
Hannah berkata, pemain itu telah memberi maklum balas positif terhadap inisiatif RTG namun memilih untuk meneruskan kerjaya secara profesional tanpa terikat dengan program tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Lee Zii Jia, pertemuan saya dengan beliau membincangkan sokongan yang boleh diberikan kepada atlet profesional, beliau telah memberi banyak maklum balas yang baik untuk RTG.
“Tetapi keputusan akhir berada di tangan atlet dan Lee Zii Jia telah memutuskan untuk tidak menyertainya, jadi kita hormat keputusan tersebut,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hannah menyatakan bahawa KBS telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi tahun 2025 untuk pelaksanaan RTG, termasuk top-up services seperti pendedahan kejohanan, latihan media dan peralatan baharu.
KBS turut berharap agar semua atlet RTG kekal dalam program tersebut dan terus meningkatkan prestasi.
“Sekarang mereka berada di Top 10, tapi untuk pingat emas, mereka perlu berada dalam Top 3 menjelang Olimpik 2028,” jelasnya.
Dalam masa yang sama, proses semakan semula RTG akan dilakukan setiap enam bulan agar terdapat kesinambungan dan konsistensi dalam sokongan yang diberikan kepada para atlet.
Seramai 12 atlet negara dari pelbagai sukan telah menandatangani perjanjian di bawah Program Road to Gold (RTG) dalam mesyuarat kali kedua jawatankuasa berkenaan yang berlangsung hari ini.

Mesyuarat tersebut turut disertai Hannah bersama wakil-wakil persatuan sukan kebangsaan serta barisan atlet terlibat.
Antara atlet RTG yang sah menandatangani perjanjian ialah Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Tina Muralitharan, Pearly Tan, Man Wei Chong, Tee Kai Wun, Chen Tang Jie, Toh Ee Wei, Mohd. Aniq Kasdan (Angkat Berat), Muhammad Shah Firdaus Sahrom (Bersepeda), Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri (Bersepeda) dan S. Sivasangari (Skuasy).
Sementara itu, bagi kategori atlet Fast Track yang telah menandatangani perjanjian pula ialah atlet sukan memanah iaitu Ariana Nur Dania, Syakira Mashayikh dan Nurul Azrina Fazil.
Program RTG diwujudkan oleh kerajaan bagi menyediakan sokongan menyeluruh kepada atlet negara dalam usaha meraih pingat emas pertama di temasya Sukan Olimpik dengan tumpuan diberikan kepada kumpulan atlet elit yang berpotensi membawa pulang kejayaan ke tanah air.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









2 Comments