Hannah Yeoh hormati keputusan SPRM, sifat pembangunan kolam takungan banjir sebagai keputusan ‘bodoh’
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan bahawa isu pembangunan di kawasan kolam takungan banjir di ibu negara tetap menimbulkan persoalan besar dari sudut perancangan bandar dan keselamatan awam meskipun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah dalam siasatan kes berkenaan.
Ahli Parlimen Segambut itu berkata, beliau menghormati keputusan SPRM dan tidak mempertikaikan dapatan agensi berkenaan berkaitan unsur rasuah.
Namun menurut beliau, keputusan pembangunan yang mengurangkan kapasiti kolam takungan banjir sehingga 70 peratus tetap merupakan satu keputusan yang tidak bijak.
“SPRM sudah menyatakan tiada unsur rasuah dan saya hormati keputusan tersebut.
“Tetapi bagi saya, isu ini bukan sekadar soal rasuah atau tidak. Persoalan besarnya ialah bagaimana satu keputusan pembangunan boleh dibuat sehingga kapasiti kolam takungan banjir dikurangkan sebanyak 70 peratus.
“Dalam keadaan Kuala Lumpur berdepan isu banjir kilat dan kekurangan tanah, saya berpandangan keputusan menyerahkan kolam takungan air untuk pembangunan adalah satu keputusan bodoh,” katanya selepas menghadiri Majlis Program Komuniti KL Bebas Asap Rokok (KLBAR) di Gombak hari ini.
Semalam media melaporkan SPRM menerima keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) daripada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung isu penukaran status tanah kolam takungan banjir di ibu negara selepas siasatan dijalankan pada 2022.
Keputusan itu dibuat selepas siasatan dirujuk kepada DPP pada 2023 dan tiada unsur rasuah dikenal pasti.
Mengulas lanjut, Hannah berkata isu tersebut sebenarnya telah lama dibangkitkan termasuk di Parlimen sejak tahun 2021 berkaitan kelulusan pembangunan yang didakwa tidak selari dengan fungsi asal kawasan berkenaan sebagai kolam takungan banjir.
Tambah beliau, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan sebarang pembangunan di kawasan terbabit memenuhi semua syarat teknikal yang ditetapkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum kebenaran merancang diberikan.
“Kita perlu fikir tentang penduduk Kuala Lumpur yang terkesan apabila kapasiti takungan air berkurang, dan pada masa sama pembeli rumah di kawasan tersebut yang kini berdepan risiko banjir kilat.
“Itu realiti yang sedang berlaku dan ia perlu ditangani dengan serius,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















