BERITA SEMASADALAM NEGERI

Laman Sukan Beroda@Titiwangsa dibuka, jadi ruang aktif warga kota

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus komited dalam usaha memperkasa ruang rekreasi berkualiti apabila Laman Permainan Sukan Beroda (Skatepark) @ Taman Tasik Titiwangsa dibuka secara rasminya kelmarin.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd Sharif.

Melalui satu kenyataan, DBKL memaklumkan kemudahan baharu yang telah dibuka kepada orang ramai sejak 1 Januari lalu itu diberi nafas segar melalui landskap Taman Tasik Titiwangsa.

Maimunah mendengar taklimat mengenai penambahbaikan Laman Sukan Beroda di Taman Tasik Titiwangsa.

Ia termasuklah penambahan ‘Roller Rink’ dan ‘Promenade’ iaitu satu ruang khas bagi aktiviti seperti rollerskate, roller blade dan skateboard.

Menurut Maimunah, pembinaan laman tersebut merupakan sebahagian daripada ‘inisiatif flagship’ DBKL di bawah teras Bandar Raya Hijau dan Mampan yang menyasarkan penciptaan bandar yang inklusif, rendah karbon serta mesra keluarga dan komuniti.

“Antara matlamat strategik yang disokong melalui pelaksanaan laman ini termasuklah peningkatan kualiti kehidupan bandar melalui penyediaan ruang riadah terbuka dan inklusif; galakan aktiviti bebas karbon dengan menyokong sukan beroda serta penggunaan laluan pejalan kaki dan basikal.

“Selain itu, ia juga bertujuan memperkasakan pelancongan bandar, menjadikan taman sebagai tarikan gaya hidup sihat dan memantapkan mobiliti mikro melalui penyediaan infrastruktur sokongan bagi mod pengangkutan ringan dan lestari,” katanya.

Laman Sukan Beroda ini dijangka menjadi tarikan utama kepada pengunjung dan peminat sukan ekstrem. 

Kemudahan itu dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 10 malam.

Ia dijangka menjadi tarikan utama bukan sahaja kepada warga kota malah pengunjung dari luar khususnya dalam kalangan generasi muda dan peminat sukan ekstrem.

Dalam pada itu, DBKL turut menyeru orang ramai agar menggunakan kemudahan ini secara bertanggungjawab, menjaga kebersihan serta mengelakkan sebarang bentuk vandalisme agar laman ini kekal berfungsi dan selamat untuk dinikmati semua.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button