Laluan baharu Bukit Kayu Hitam-Sadao pacu ekonomi sempadan Malaysia-Thailand – PM
BUKIT KAYU HITAM – Pembukaan dan pengoperasian jajaran baharu yang menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta memperkukuh hubungan perdagangan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laluan baharu itu bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan trafik yang sebelum ini berlaku di Kompleks CIQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, malah mempercepatkan pergerakan kenderaan perdagangan serta pelancong.

“Hari ini, satu lagi detik bersejarah khususnya bagi kawasan utara Malaysia dan selatan Thailand melalui projek usaha sama ini yang akan menggalakkan pembangunan ekonomi kedua-dua wilayah.
“Kita telah melangkaui hubungan diplomatik biasa apabila menunjukkan kesungguhan untuk mewujudkan Zon Ekonomi Khas Sempadan meliputi kawasan utara Malaysia dan selatan Thailand bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pembukaan dan Pengoperasian Jajaran Baharu Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, Thailand, di sini hari ini.
Turut hadir Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Anwar berkata, pembukaan laluan itu mencerminkan kejayaan kerjasama strategik Malaysia dan Thailand dalam membangunkan infrastruktur sempadan yang lebih moden, bersepadu dan berdaya tahan.
Menurut beliau, pembangunan kawasan sempadan perlu dilaksanakan secara bersama bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati penduduk di kedua-dua negara, selain menjamin kestabilan rantau ini.
“Ini bukan sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan cepat dan mudah, tetapi saya percaya dengan iltizam kepimpinan Thailand dan Malaysia, kita mampu menerajui pembangunan baharu ini dengan baik untuk rakyat.
“Selain wilayah selatan Thailand, manfaatnya turut diterima negeri terutama Kedah, Perlis, Kelantan dan Pulau Pinang yang menghasilkan pelbagai produk pertanian dan perkilangan yang dieksport melalui laluan ini,” katanya.
Sementara itu, Anutin berkata, laluan baharu berkenaan dijangka melancarkan pergerakan rentas sempadan, memudahkan urusan logistik dan mengurangkan kesesakan di CIQ Sadao yang merupakan pintu masuk paling sibuk antara Malaysia dan Thailand.
Beliau berkata, Thailand juga bersedia memperluaskan kerjasama pembangunan kawasan sempadan melibatkan wilayah Satun, Songkhla dan Narathiwat yang mempunyai potensi besar untuk diteroka pada masa depan.
“Selepas ini kita menyaksikan pelbagai barangan dari Malaysia dapat dihantar ke Thailand dan terus ke China atau sehingga ke Russia melalui jalan darat yang lebih lancar hasil pembukaan laluan baharu ini.
“Begitu juga bagi barangan dari Thailand apabila ia lebih mudah dihantar ke Malaysia terus ke Singapura sehingga ke Indonesia. Ia akan membuka pelbagai peluang pekerjaan dan perniagaan yang memberi manfaat kepada kedua negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















