BERITA SEMASA

Krisis di Myanmar jika dibiarkan boleh cetus pelbagai isu dalaman, jenayah rentas sempadan

KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan krisis di Myanmar sekiranya dibiarkan tanpa penyelesaian boleh mencetuskan kepada pelbagai isu dalaman serta rentas sempadan termasuk jenayah rentas negara, pelarian dan ketidakstabilan sosio ekonomi.

Sehubungan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penyelesaian kepada isu di negara itu perlu dicapai secara berhati-hati, bukan secara paksaan.

Beliau berkata, dalam krisis yang berlaku sejak puluhan tahun itu, proses damai tidak akan berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan ketekunan dan penglibatan aktif semua negara ASEAN

“Dalam situasi yang berlaku puluhan tahun, ketidakpercayaan antara satu sama lain di peringkat akar umbi, proses perdamaian tidak akan berlaku dalam sekelip mata.

“Ia akan menjadi satu proses yang panjang, yang mesti diterajui oleh rakyat Myanmar sendiri, serta disokong oleh ASEAN iaitu satu jalan yang berasaskan kepercayaan, bukan paksaan,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) sempena Sidang Kemuncak ASEAN di sini hari ini.

Oleh itu, beliau berkata, Pengerusi ASEAN pada masa hadapan mesti terus menunjukkan ketegasan dan keazaman dalam menangani isu tersebut dan mengguna pakai semangat dalam menyatukan rantau ini.

“Inilah semangat yang membimbing tindakan pantas kita apabila ASEAN bertindak balas terhadap gempa bumi dahsyat yang melanda Myanmar awal tahun ini.

“Kita telah menggerakkan pasukan kecemasan dan menghantar bantuan kemanusiaan tambahan bagi menyokong usaha pemulihan di lapangan. Jangan silap, apabila kesukaran melanda kita boleh dan mesti bertindak sebagai satu.

“Menangani krisis Myanmar memerlukan bukan sahaja usaha seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat, tetapi juga komitmen seluruh rantau terhadap usaha membina keamanan,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button