BERITA SEMASALUAR NEGARA

Banjir di Texas ragut 43 nyawa, termasuk 15 kanak-kanak

WASHINGTON – Sekurang-kurangnya 43 orang, termasuk 15 kanak-kanak, maut dalam kejadian banjir besar yang melanda Kerr County, Texas, semalam.

Menurut Syerif Larry Leitha, lima kanak-kanak dan 12 dewasa masih belum dikenal pasti identitinya.

“Proses pengecaman mangsa sedang dijalankan dan akan dimaklumkan sebaik dikenal pasti,” jelasnya.

Susulan insiden berkaitan, Pengurus Bandar Kerrville, Dalton Rice berkata, usaha mencari dan menyelamat kekal menjadi keutamaan.

“Kami benar-benar menumpukan kepada keselamatan nyawa. Operasi menyelamat akan diteruskan sepanjang malam bagi mengesan mangsa yang masih hilang,” jelasnya.

Rice turut mendedahkan 27 kanak-kanak dari Kem Mystic masih belum ditemui.

Tapak perkhemahan itu mengalami kerosakan teruk apabila air Sungai Guadalupe melimpah dan membanjiri kawasan tersebut pada awal pagi kelmarin.

“Ratusan mangsa telah berjaya dibawa keluar dari kawasan kem tersebut sepanjang hari ini,” jelasnya.

Kejadian banjir bermula lewat malam Khamis susulan hujan lebat yang berpanjangan, menyebabkan paras air sungai naik secara mendadak.

Menurut pihak berkuasa, Sungai Guadalupe dilaporkan melimpah sehingga melebihi 11.8 meter.

Operasi menyelamat masih diteruskan di sepanjang sungai dan kawasan yang terjejas. Beberapa agensi kecemasan turut digerakkan bagi membantu usaha menyelamat dan menjejaki mangsa yang hilang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button