KPKM laksana tindakan berperingkat tangani kos operasi industri padi
PUTRAJAYA – Bantuan subsidi input seperti benih, baja dan racun kepada pesawah padi tidak terjejas dan akan diteruskan seperti biasa walaupun berlaku kenaikan kos baja di peringkat global.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan turut berkata, pihaknya akan terus memantau situasi semasa berkenaan kenaikan harga diesel yang dijangka memberi kesan kepada pesawah serta sektor pertanian negara.
“KPKM sememangnya sedang memantau impak kenaikan harga diesel yang memberi kesan kepada kos operasi dan perkara ini sedang diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang syor dikemukakan kepada Kementerian Kewangan berdasarkan keperluan semasa.
“Perlu ditegaskan, KPKM pada bila-bila masa boleh melaksanakan intervensi sewajarnya berdasarkan peruntukan di bawah Akta 522 sekiranya berlaku gangguan terhadap rantaian penghasilan dan pembekalan padi serta beras negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mengenai kelewatan pembayaran bantuan tunggu tuai berjumlah RM600 seperti dibangkitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, KPKM menjelaskan, pemberian tersebut merupakan bantuan khas secara one-off yang dilaksanakan bagi musim tanaman padi tahun 2023 dan 2024 sahaja, dan peruntukan ini tidak diteruskan dalam Belanjawan bagi tahun 2025 dan 2026.
“Justeru tidak timbul isu kelewatan pembayaran sepertimana yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang.
“Dalam hal ini, adalah penting agar kenyataan yang hendak dibuat mestilah berasaskan fakta dan butiran sebenar dasar kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pesawah dan rakyat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







