BERITA SEMASADALAM NEGERI

KPKM cari mekanisme baharu kekal bekalan beras putih

PUTRAJAYA – Penilaian terperinci akan dijalankan bagi menentukan strategi terbaik dalam memastikan kelangsungan pembekalan beras putih di dalam negara, termasuk mekanisme baharu menangani isu amalan pencampuran beras, susulan Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi yang tamat esok.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan, penilaian itu dibuat selepas mengambil kira keberkesanan penyelarasan harga Beras Putih Import (BPI) pada kadar RM2,600 per tan metrik di pintu gudang BERNAS yang berkuat kuasa sejak 15 Mei 2025.

KPKM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Program Khas Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi Tahun 2025 di Semenanjung Malaysia yang dilaksanakan sejak 1 Mac 2025 akan berakhir pada 31 Ogos 2025.

“Program khas selama enam bulan ini adalah antara inisiatif Kerajaan MADANI untuk menyalurkan subsidi secara lebih berkesan, sekali gus menjadi sebahagian daripada pelan transisi pembekalan beras putih di Malaysia.

“Berdasarkan tinjauan KPKM, permintaan terhadap BPT sepanjang tempoh pelaksanaan mencatatkan sekitar 18.2 juta kampit (75.8 peratus) daripada sasaran asal sebanyak 24 juta kampit.

“Trend ini menunjukkan rakyat lebih memilih beras pada harga yang berpatutan berbanding semata-mata tertumpu kepada BPT,” menurut kementerian itu.

Katanya, langkah itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam menjamin keterjaminan makanan negara serta memastikan rakyat terus menikmati harga beras yang stabil, berpatutan dan mudah diperoleh.

Menurut kenyataan itu, bekalan beras putih dalam pasaran ketika ini kekal mencukupi, selaras dengan usaha mengekalkan kestabilan harga makanan ruji negara dalam jangka panjang.

“KPKM memberi jaminan bahawa pemantauan rapi terhadap bekalan beras akan terus dilaksanakan bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada bekalan yang mencukupi pada harga yang wajar,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button