BERITA SEMASADALAM NEGERIPMX

KLFA terima RM1 juta, logo dan jersi baharu dilancar

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menerima peruntukan khas sebanyak RM1 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjelang sepak mula Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/26.

Pengumuman itu dibuat beliau ketika menghadiri Sambutan Jubli Emas KLFA, malam ini yang turut menyaksikan pelancaran logo baharu KL City FC dan jersi rasmi pasukan bagi musim akan datang.

Menurut Perdana Menteri, peruntukan itu diberikan atas keprihatinan kerajaan terhadap usaha pembangunan sukan akar umbi yang sedang digerakkan KLFA, meskipun tiada permohonan rasmi dikemukakan oleh pihak persatuan.

“Ini satu-satunya majlis yang saya hadir di mana tiada siapa meminta peruntukan. Jadi saya ucapkan terima kasih, dan walaupun tiada permintaan dibuat, saya umumkan sumbangan sebanyak RM1 juta,” ujar beliau.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa bola sepak bukan sekadar sukan biasa, tetapi mempunyai nilai yang jauh lebih besar dalam konteks perpaduan nasional dan pembinaan masyarakat.

“Bola sepak bukan sekadar sukan permainan biasa, ia adalah medium perpaduan yang ampuh merentas kaum, agama dan latar belakang.

“Namun, kita mesti insaf bahawa budaya import seperti ‘hooliganism’ jangan dinormakan. Budaya sukan harus segar, sihat dan sarat nilai murni,” katanya.

Justeru, beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mendukung pembangunan bola sepak tempatan melalui pelbagai pendekatan, termasuk kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi mengarusperdanakan pembangunan bakat sejak usia muda.

“Prasarana mesti mencukupi, akademi mesti ditambah baik, dan saya telah maklumkan Menteri Wilayah serta pihak Bandaraya agar memainkan peranan sewajarnya.

“Justeru itu, kerajaan menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menyokong inisiatif pembangunan sukan di peringkat akar umbi,” tambahnya.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan terhadap kepimpinan KLFA yang diketuai Presidennya, Syed Yazid Syed Omar serta penaung persatuan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, atas komitmen dan visi mereka dalam memartabatkan bola sepak tanah air.

“Saya hargai semangat kepimpinan Persatuan serta penaungnya dalam memartabatkan bola sepak tanah air. Kita angkat bola sepak bukan kerana sukan yang glamor tetapi kerana nilainya yang menyatukan rakyat dan mengharumkan nama negara.”

Majlis tersebut bukan sahaja menjadi simbol ulang tahun ke-50 KLFA, malah mencerminkan permulaan fasa baharu pembangunan bola sepak ibu kota yang lebih dinamik, tersusun dan inklusif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button