
Microsoft setuju tambah pelaburan bernilai RM10.5 bilion ke Malaysia – PM
PUTRAJAYA – Syarikat gergasi teknologi Microsoft bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh 4 tahun mendatang di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu diumumkan ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella serta delegasi di Putrajaya hari ini.
“Jumlah ini adalah pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft setelah bertapak selama 32 tahun di Malaysia.
“Pelaburan ini meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan (cloud system) dan Kecerdasan Buatan (AI), pewujudan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang, penubuhan satu Pusat Kecemerlangan AI Nasional, mempertingkat kemampuan keselamatan siber negara dan menyokong pertumbuhan komuniti pembangun sistem di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Anwar berkata, Malaysia menyambut baik keputusan pelaburan ini yang membuktikan keyakinan mereka kepada asas ekonomi negara yang kukuh, dasar-dasar yang jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik.
“Pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus Kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara,” ujarnya.
Sementara itu Anwar berkata, beliau dan Satya juga sempat berdialog terkait perkara yang menyentuh hal teknologi yakni AI dan perancangan kerajaan bagi mempersiapkan negara dengan arus perubahan ini.
“Usai kunjungan hormat, saya dan Satya kemudiannya menghadiri National AI Leadership Forum.
“Kami sempat berdialog terkait perkara yang menyentuh hal teknologi yakni AI dan perancangan Kerajaan bagi mempersiapkan negara dengan arus perubahan ini.
“Semoga kerjasama Malaysia dan Microsoft ini dapat membawa manfaat yang cukup besar kepada negara dan rakyat keseluruhannya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















