Ketua Polis Negara ikrar cari pemeras ugut Ketua Polis Pulau Pinang
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang giat mengesan sindiket pinjaman wang haram atau Ah Long yang membuat ugutan kepada Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin.
Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihak yang terlibat dalam ugutan jenayah itu akan diburu secara habis-habisan sehingga tertangkap.
Beliau berkata, dalam kejadian pada 1 Jun lalu, sekeping surat dialamatkan (diterima) ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang atas nama Ketua Polis melalui perkhidmatan Pos Malaysia.
“PDRM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengugut dan mengancam pegawai PDRM dalam menjalankan tugas memerangi kegiatan haram serta jenayah di negara ini,” tegasnya dalam satu kenyataan dikeluar petang semalam.
Tegas Acryl Sani, pemeriksaan surat berkenaan menemui enam keping wang replika kertas atau lebih dikenali sebagai ‘duit mayat’ dan sekeping nota berbentuk amaran yang mahu polis menghentikan tindakan terhadap sindiket Ah Long di negeri itu.
Tambah beliau, surat layang tersebut turut berserta nota berunsur ugutan jenayah terhadap Ketua Polis Pulau Pinang bahawa akan membakar kedai serta balai polis sekiranya amaran berkenaan tidak diendahkan.
Sehubungan itu katanya, usaha mengesan suspek kini giat dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Bukit Aman.
“Siasatan sedang giat dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama.
Kok Chin kelmarin mendedahkan beliau menerima ugutan daripada beberapa pihak dalam usaha membanteras jenayah dan sindiket haram di Pulau Pinang.
“Memang saya ada menerima ugutan apabila membongkar serta melumpuhkan sindiket terlibat jenayah di negeri ini.
“Bagaimanapun, saya tidak akan berkompromi atau bersekongkol dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti haram di negeri ini,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








