Ketua Polis Daerah Tawau meninggal dunia
TAWAU – Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner (ACP) Jasmin Hussin meninggal dunia pada pukul 2.04 pagi tadi di Hospital Tawau, di sini.
Berita pemergian Allahyarham yang berusia 53 tahun itu dimaklumkan menerusi hantaran rasmi Polis Daerah Tawau di Facebook pagi ini.
Dalam hantaran berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan seorang pegawai kanan polis yang banyak berjasa sepanjang perkhidmatannya.
“Dengan penuh rasa dukacita dimaklumkan bahawa Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin, 53, kembali ke rahmatullah pada pukul 2.04 pagi tadi di Hospital Tawau.
“Marilah kita bersama-sama mendoakan Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmat ke atas rohnya serta menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah,” menurut hantaran itu.
Tinjauan di Unit Forensik Hospital Tawau mendapati ahli keluarga Allahyarham bersama pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berkumpul di ruang menunggu bagi mengikuti perkembangan urusan pengurusan jenazah.
Suasana hiba turut menyelubungi pekarangan unit berkenaan apabila rakan setugas, sahabat handai serta kenalan hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
Pemergian beliau turut dirasai pengamal media tempatan yang pernah berurusan dengannya, selain masyarakat setempat yang mengenali Allahyarham sebagai seorang pegawai polis yang komited, berdedikasi dan mudah didekati.
Di media sosial, ramai meluahkan rasa terkejut dan sedih sebaik sahaja berita pemergian Allahyarham tersebar, sambil menyifatkannya sebagai satu kehilangan besar kepada PDRM, khususnya warga IPD Tawau.
Allahyarham Jasmin dikenang atas dedikasi serta komitmen tinggi dalam melaksanakan amanah menjaga keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang hampir lima tahun menerajui IPD Tawau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








