Kes Zayn Rayyan: Nasib ibu didakwa abai anak diketahui esok
PETALING JAYA – Nasib Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin atas pertuduhan mengabaikan anaknya akan diketahui esok di Mahkamah Sesyen di sini selepas hakim mendengar keseluruhan keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak.
Hakim Dr Syahliza Warnoh dijangka memutuskan sama ada Ismanira, 30, disabitkan atau dibebas di akhir kes pembelaannya.
Pihak pembelaan telah memfailkan hujahan bertulis pada 18 September lalu yang dibalas pihak pendakwaan pada 1 Oktober.

Dalam hujahan bertulis, pihak pembelaan menegaskan bahawa keterangan Ismanira bukan sekadar penafian kosong ketika membela diri sebaliknya konsisten dan tidak bersifat afterthought.
Sementara itu, pihak pendakwaan pula berhujah bahawa keterangan menunjukkan Allahyarham Zayn Rayyan semasa berada di bawah jagaan ibu, telah didedahkan kepada risiko kecederaan.
Pada 21 Julai lalu, mahkamah telah memerintahkan Ismanira membela diri manakala suaminya, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira didakwa mengabaikan anak mereka yang berusia enam tahun di kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai dan kawasan sungai berdekatan antara pukul 12 tengah hari 5 Disember hingga 9.55 malam 6 Disember 2023.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








