Kes tikam 61 kali: Warga emas dibebas, polis fokus siasatan dua remaja
KOTA BHARU – Pasangan warga emas yang direman bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang penuntut kolej wanita yang ditemui maut dengan 61 kesan tikaman, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asistan Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, pasangan berusia 60 dan 66 tahun itu dilepaskan lebih awal sebelum tempoh reman mereka berakhir esok.
Menurut beliau, siasatan kini tertumpu kepada dua remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.
“Kita kini fokuskan siasatan terhadap dua remaja berusia 19 tahun,” katanya memetik Harian Metro.
Difahamkan, pasangan suami isteri itu merupakan ibu bapa kepada salah seorang suspek.
Semalam, kedua-dua warga emas berkenaan direman selama tiga hari, manakala dua remaja terbabit direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, mayat mangsa ditemukan di Jalan Kampung Kubang Kiat, Ketereh pada pukul 12.30 tengah malam Jumaat lalu, dengan 61 kesan tikaman pada tubuhnya.
Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, mangsa tidak memiliki dokumen pengenalan diri ketika ditemui, namun identitinya berjaya dikenal pasti melalui semakan cap jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






