Kes bayi meninggal : Dua petugas taska tidak ikuti Kursus Asuhan PERMATA
GEORGETOWN – Dua pekerja taska dalam kawasan Hospital Seberang Jaya (HSJ) didapati tidak mengikuti Kursus Asuhan PERMATA (KAP) meskipun diwajibkan kepada semua petugas pusat jagaan kanak-kanak, selepas seorang bayi lelaki berusia empat bulan meninggal dunia di taska berkenaan Isnin lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam Pulau Pinang, Lim Siew Khim berkata, berdasarkan peraturan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setiap petugas taska, tadika dan pusat jagaan (TTPJ) perlu mengikuti KAP bagi memastikan tahap profesionalisme, tanggungjawab serta kualiti penjagaan berada pada standard ditetapkan.
Menurutnya, hasil siasatan JKM mendapati terdapat tujuh petugas di taska itu yang mengendalikan 44 kanak-kanak, termasuk bayi lelaki yang meninggal dunia.
“Pemeriksaan juga mendapati tujuh petugas termasuk dua wanita yang ditahan polis tidak mengikuti KAP.
“Masih terdapat pengasuh baharu yang diambil bekerja belum memenuhi syarat terbabit,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Siew Khim berkata, dua pengasuh wanita berusia 22 tahun itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Media sebelum itu melaporkan bayi lelaki, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, ditemui tidak sedarkan diri di taska berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati taska terbabit berdaftar sah dan mematuhi syarat pendaftaran serta National Integrated System of Childcare (NISPA) dan telah beroperasi sejak empat tahun lalu.
Sehingga kejadian itu, JKM tidak pernah menerima sebarang aduan daripada ibu bapa atau penjaga.
“Susulan kejadian itu, JKM mengarahkan taska terbabit ditutup sementara bermula 9 Mac lalu sehingga siasatan polis selesai,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




